Sabtu, 31 Ogos 2013

Kerja Rumah: Keperluan Di Mana-mana....

Pernah mendengar perkataan sewindu?

Di dalam lagu Gubahanku - dari filem Lagu Untukmu {1973}- nyanyian asal Broery Marantika dan Anna Mantovani, perkataan itu digunakan. Apabila dilagukan oleh penyanyi dari Singapura dan Malaysia, sewindu itu, sedap-sedap sahaja diubah menjadi serindu. Alangkah berbeza maksudnya....

Sewindu ertinya lapan tahun mengikut edaran tahun di dalam bahasa Jawa.  Lirik lagu Gubahanku:

Setahun kita berpisah
Sewindu terasa sudah...


Maknanya walaupun baru setahun berlalu, terasa seperti sudah lapan tahun. Masakan setahun berpisah baru terasa rindu..... [Apologi untuk peminat Dato' Siti....]

Demikianlah kita.

Mengambil dari orang tetapi tidak sedikitpun memperuntukkan masa bagi mendalaminya terlebih dahulu.

Banyak lagi yang boleh dicontohkan.

baca koran - maksudnya baca akhbar - di dalam sebuah lagu Hetty Koes Endang, dengan selamba dinyanyikan oleh penyanyi tersohor kita [ di dalam satu rancangan hiburan mingguan] sebagai baca Quran......

tugu monas di dalam lagu Berdiri Bulu Romaku dari Hetty juga sesukanya ditukar kepada tugu Munah, sedangkan monas kependekan bagi monumen nasional......

Lirik Lagu Rhoma Irama - Begadang Vol 1Pernah saya catat bagaimana seorang penyanyi dari Singapura - Hamidah Ahmad - merakamkan lagu Begadang nyanyian asal Pak Haji Rhoma Irama dengan mengubah perkataan itu kepada Meradang tanpa ditukar lirik.

Peliklah ketika dilagukan:

kalau terlalu banyak meradang
muka pucat kerana darah berkurang

sedangkan lirik asalnya berbunyi:

kalau selalu banyak begadang
muka pucat karena darah berkurang

Makna begadang?

Menurut teman dari seberang, BEGADANG bermaksud:
Melakukan kegiatan tidak berguna di malam hari padahal dengan niat baik ingin mengerjakan sesuatu yang penting, sangat tidak baik untuk kesehatan.

Kerja rumah itu penting,. dik!

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails