Tuah (memang nama sebenar) membeli sebidang
tanah di sekitar daerah kelahirannya untuk dibuat tapak rumah. Hampir RM18 ribu
dibelanjaklan untuk proses penambakan. Sebaik siap ditambun, ditambah dengan
ruang jalan selebar jalan tar mini serta parit di kiri kanannya,anak lelaki Hajah Mariam
itu berhadapan satu masalah besar,yang mungkin tidak pernah terjangkakan.
Tuan lot tanah yang terletak di hadapan tapaknya itu,
tidak membenarkan laluan masuk dibuat di atas miliknya. Tidak setakat melarang,
didirikan pula tembok atau penghadang yang kukuh.
Kehampaan menjalar. Dia tidak hanya kerugian wang malah
hasrat membina rumah berhampiran kampung orang tuanya juga tidak kesampaian.
Dia bersabar.
Tiga bulan berlalu.
Tiba-tiba muncul peluang lain. Ada lot tanah di Ayer Keroh,
Melaka mahu dijual dan dia tidak melepaskan peluang. Kini dia mampu membina
rumah di kawasan elit, tidak jauh dari kediaman rasmi Ketua Menteri serta
Istana Melaka. Sesuai pula dengan namanya, yang mungkin diberikan sempena nama
panglima legenda, Hang Tuah.
Hanya tiga bulan, dari anganan mendirikan rumah di ceruk
kampung, dia berpeluang menjadi anggota kejiranan yang berprestij.
Itulah hikmah di sebalik apa yang dilalui sebelumnya.
Hal ini diceritakan sendiri oleh Tuah Iskandar pagi tadi.
Sejak lama saya membaca buku tulisan Dr HM Tuah, salah seorang pakar
motivasi kita, pengasas modul 3E, yang sering muncul di pelbagai media. Ada
banyak buku tebal karyanya yang sering memberi
harapan dan pandangan baru dalam menghadapi dan menjalani kehidupan,
pernah saya baca.
Namun kali ini terasa lain. Tiada dari mana-mana buku biasanya
itu. Tidak sampai pun lima minit dia bercerita. Meski pendek, setelah berfikir
sejenak, saya bagaikan membaca sebuah buku motivasi yang cukup tebal!
Kiranya, ada ketika kita tidak perlukan khutbah yang panjang
bagi menginsafkan jemaah……
Salam Jumaat!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan