Isnin, 11 Mac 2013

Inilah Kubur Korban Percintaan.....



 

Pada penghujung  dekad 70-an lagu nyanyiannya cukup diminati. Dalam tempoh singkat peglibatannya sebagai penyanyi rakaman, 1976-77, dia muncul di dalam tiga album – Julie Remie [4 buah lagu],Perasaan Remaja [12 lagu] dan terakhir, Engkau Sinar Hidupku [12 lagu].

Julie, penyanyi  bersuara tersendiri bersara awal. Pada tahun 1979, Julie, yang nama sebenarnya Juriah Hj Juraimi, berkahwin dengan Jumali Kassim, yang turut menyumbangkan lirik untuk beberapa lagu di dalam album terakhirnya.

Kesemua album itu diterbitkan oleh S Atan. Lagu paling popular dan menjadi siulan hingga kini ialah Korban Percintaan dari EP sulungnya.  Lagu-lagu lain yang masih dikumandangkan di radio, meski hanya sesekali, termasuklah Bang Ayuh Bang, Bas Nombor 1, Di Mana Ilhamku, Berikanku Sinar harapan dan Abang Sayang Adik Sayang.

Korban Percintaan

Duhai kanda rayuan hati
Rayuan kasih cinta abadi
Tiga tahun peristiwa berlalu
Batin tersiksa dipasung rindu

Tapi kini apa 'kan daya
Aku hanya insan biasa
Pada Tuhan aku berserah
Menyerah diri di atas sejadah

Aku tahu kau tak bersalah
Takdir Tuhan tiada terduga
Hanya doa dan air mata
Mengiringi perpisahan kita

Padamu kasih aku berpesan
Kira jasadku meninggalkan badan
Di atas nisan tolong tuliskan
Inilah kubur korban percintaan


Lirik berusia hampir empat dekad ini amat puitis. Lihatlah pada batin tersiksa dipasung rindu serta menyerah diri di atas sejadah.

Namun, dalam mendayu lagu dan suara penyanyinya, lirik ini dicacatkan oleh frasa kira jasadku meninggalkan badan.

Jasad meninggalkan badan?

Di dalam mana-mana kamus pun jasad dan badan adalah sama maknanya.

Sepatutnya roh yang meninggalkan badan……

Oh ya, saya teringat, dua penjahat di dalam filem Nujum Pa’ Belalang lakonan Aziz Sattar dan S Shamsuddin, bernama Nyawa dan Badan, yang terkejut nama mereka disebut tatkala Pa’ Belalang [P Ramlee] sedang meratapi nasibnya……

Hailah nyawa.......

Hailah badan.......

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails