Jumaat, 22 Februari 2013

Lagu Untuk Mat Ali



Masih tentang Mat Ali itu.

Pada zaman kemuncaknya, terdapat sebuah lagu nyanyian Johnny Wakelin bertajuk The Black Superman – Muhammad Ali. Saya masih ingat bapa saudara membawa pulang EP [mengandungi 4 lagu] tersebut. Setiap hari lagu itu dimainkan berkali-kali, walaupun bukan sepenuhnya faham akan maknanya. Datuk pun suka terutamanya pada bahagian yang diulang - Sing, Muhammad, Muhammad Ali …….

This here's the story of Cassius Clay
Who changed his name to Muhammad Ali
He knows how to talk and he knows how to fight
And all the contenders were beat out of sight

Sing, Muhammad, Muhammad Ali
He floats like a butterfly and stings like a bee
Mohammed, the black superman
Who calls to the other guy I'm Ali catch me if you can

Now all you fight fans, you've got to agree
There ain't no flies on Muhammad Ali
He fills the arena wherever he goes
And everyone gets what they paid for

Muhammad, was known to have said
You watch me shuffle and I'll jab off your head
He moves like the black superman
And calls to the other guy I'm Ali catch me if you can

He says I'm the greatest the worlds ever seen
The heavyweight champion who came back again
My face is so pretty you don't see a scar
Which proves I'm the king of the ring by far

Sing, Muhammad, Muhammad Ali
He floats like a butterfly and stings like a bee
Mohammed, the black superman
Who calls to the other guy I'm Ali catch me if you can

Sing, Muhammad, Muhammad Ali
He floats like a butterfly and stings like a bee
Muhammad, the black superman
Who calls to the other guy I'm Ali catch me if you can
I'm Ali catch me if you can

Seperti selalu – kerana muzik adalah universal – akan ada versi melayunya. Banyak juga keuntungan diperoleh agaknya dengan menerbitkan lagu saduran tersebut….

Dari Singapura, dua penyanyinya mengalunkan versi melayu tetapi dengan penulis yang berbeza, pastinya menghasilkan senikata yang tidak serupa.

Kadir atau kadangkala menggunakan nama A Kadir bersama The Breakthru, pernah popular dengan lagu Papaya Ciku Ciku, Lontong, Kelapa dan Pendekar Kungfu] menyanyikan senikata bertajuk Pahlawan Tinju [Mohammad Ali]. Seronok mendengar satu bait liriknya :

Wahai peminat-peminat kau harus setuju
tiada bandingan untuyk si Ali itu
sudah bertanding di daerah kita
kami doakan supaya ia berjaya        

di daerah kita itu tentulah merujuk kepada Kuala Lumpur, Malaysia……. walaupun Mat Ali pernah juga bertarung di Manila, Filifina menentang Joe Frazier, kemudiannya.
                                                         
Seorang lagi penyanyi yang melagukan senikata yang merupakan terjemahan bebas lagu asalnya itu adalah Roselan Yus. Nyanyiannya diberi tajuk Raja Tinju Dunia [Mohammed Ali]. Antara lagu popular lain adalah Pendekar Mustar dan Kau Kukenang.
[Untuk rekod: Kebetulan pula kedua-dua penyanyi ini turut merakamkan versi melayu lagu nyanyian Carl Douglas, Kungfu Fighting. Kadir dengan Pahlawan Kungfu manakala Roselan bersama Pendekar Mustar].

Demikianlah.






Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 19 Februari 2013

Mat Ali, Tabahlah!




Siapa sangka Stadium Merdeka menjadi pilihan untuk pertarungan merebut juara tinju Heavyweight dunia. Namun itulah yang berlaku pada 1 Julai 1975. Saya di tingkatan dua. Masih jelas betapa hebatnya promosi perlawanan itu. Ditubuhkan Syarikat Tinju Dunia Sdn Bhd untuk mengendalikannya. Kami di sekolah setiap minggu didatangi penjual buku yang menyelitkan majalah dan makalah tentang Muhammad Ali dan Joe Bugner sebagai bahan pelaris sebenarnya.

Di akhbar, iklan semuka penuh memuatkan wajah ceria rakyat Malaysia yang telah membeli tiket untuk menyaksikan pertarungan 15 pusingan itu. Satu wajah yang kekal di memori ialah seorang muda melayu berambut afro dengan tertulis di bawahnya perkataan "Gila" bagi menggambarkan keterujaannya.

Saya tak ingat bagaimana sambutan terhadap ketibaan Muhammad Ali, tetapi tak akan melupakan imej seorang penyanyi wanita terkenal (hingga kini) menyuakan muka dicium oleh Joe Bugner di Lapangan Terbang Subang.

Pada pagi perlawanan, kami berkumpul di kantin sekolah, menghadap peti tv (terima kasih untuk Mr Looi Chee Cheong a.k.a Pak Looi, guru besar yang mengizinkannya---- kalau tidak, sepilah sekolah). Bagi kebanyakan kami, tentulah menyokong Muhammad Ali yang semua orang panggil Mat Ali. Namun kemenangan tko yang kami harapkan tidak menjadi. Terpaksa berpuas hati menang dengan kiraan mata.

Antara yang diingati sepanjang pertarungan itu ialah gelagat Mat Ali membeliakkan matanya setiap kali gadis Malaysia pembawa kad pemberitahuan pusingan memasuki gelanggang. Juga bangganya mendengar suara Datuk Zainal Alam (penyanyi lagu Susu) sebagai pengumum pertarungan dan keputusan. Rasanya itulah pertama kali suara rakyat Malaysia dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Demikian catatan saya satu setengah tahun lalu.
Boxing News: Muhammad Ali

Namun membaca berita bahawa legenda ini sedang tenat, amat mengharukan saya dan beberapa rakan rapat.(Sini)

Sebagai pengagumnya, apatah sesama muslim, dada saya berdebar. Demikian juga rakan-rakan tadi. Jauh di negara Paman Sam itu, entah bagaimanalah layanan untuk fasa akhir hayatnya.....

Semasa beliau tergigil-gigil menyalakan obor Sukan Olimpik Atlanta '96, tidak sedikit rakan yang hanya mahu memesrainya sesama selera Melayu dengan memanggilnya Mat Ali, sebak. Malah ada yang tidak malu mengakui menitiskan air mata melihat keadaan ikon sepanjang zaman itu.

Kini Mat Ali diberitakan tenat......

Namun penafian hal itu oleh salah seorang anaknya sedikit meredakan. (Sini)

Tetapi kami masih terharu mengenang dirinya yang dikelilingi keluarga yang bukan semuanya muslim. Termasuk anaknya, peninju wanita, Layla Ali..

Semoga sehingga akhir hayatnya, di dadanya hanya ada kalimah syahadah yang diucapnya pada 1964 - sebagai pengikut Nation of Islam dan kemudiannya sebagai pengikut ahli sunnah pada tahun 1975.

Membaca terjemahan buku Bahkan Malaikat Pun Bertanya tulisan Dr Jeffrey Lang - pakar matematik yang menemui Islam di universiti tempatnya bertugas - cukuplah menakutkan. Betapa sukarnya mengekalkan akidah di negara tersebut. Cabarannya terlalu banyak dan tidak terjangkakan.

Setiap kali mengulang baca buku tersebut, saya terbayangkan Mat Ali, kerana hanya dia rakyat Amerika sebagai mualaf yang saya kenal.......

Mat Ali, tabahlah. Dan perteguhkanlah imanmu.
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Sabtu, 16 Februari 2013

M Nasir Rakam Lagu Saduran


Pada tahun 1979, menggunakan nama Mohamed MN, dia telah menghasilkan album sulungnya. Bagaimanapun album Untuk Pencinta Seni di bawah label Philips [PolyGram] itu tidak mendapat sambutan.

Saya pernah melihat iklan [hitam putih] saiz kecil album ini di dalam sebuah akhbar, Berita Harian, kalau tidak salah.

Siapa Mohamed MN? Demikian tanya saya waktu itu dan mungkin pertanyaan sebahagian anda pada ketika ini.

Pada tahun yang sama, anak muda 22 tahun [ketika itu] mendapati lagu sulung ciptaannya bertajuk Hujan dirakamkankan oleh Sweet Charity, kumpulan rock yang juga baru mula menghasilkan album. Album kumpulan dari Singapura itu diterbitkan oleh A Husaini Ajmain [bapa penyanyi Imran Ajmain] keluaran WEA.

Itulah permulaannya Mohamad Nasir Mohamad atau M Nasir [kini Dato’] sebagai penyanyi rakaman dan pencipta lagu.

{Selepas kegagalan album solo tersebut, beliau muncul bersama A Ali [yang asalnya gitaris kumpulan Sweet Charity] dan S Sahlan sebagai trio Kembara yang menerbitkan album pertama pada tahun 1981}.

Berbalik kepada album solo awal tadi.

Pada tahun 1990, ketika M Nasir sudah dianggap sebagai sifu oleh penggemarnya -dengan menghasilkan ratusan lagu hits dalam pelbagai genre - album Untuk Pencinta Seni tersebut diedarkan semula. Kali ini diletakkan nama terkininya. Satu strategi perniagaan oleh pengeluar asalnya.Namun nama besar tersebut tidak juga mampu melonjakkan jualan album berkenaan.

Dalam senarai 12 lagu di dalam album tersebut, terdapat satu lagu saduran bertajuk September Lalu dari nyanyian asal kumpulan Earth, Wind & Fire. Senikatanya hasil tulisan M Nasir sendiri.

Demikianlah.

Betapa jauhnya perjalanan seni dilalui oleh Dato' dari Kota Singa yang kini menetap di Kampung Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor ini.

Tidak yang terlahir terus menjadi seperti adanya sekarang…….

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 12 Februari 2013

Si Buta, Ungkap dan Sikapmu Yang Amat Menyentuh


Seorang anak tunanetra penghafal Quran tak mengeluh dengan kecacatannya, mengharap rahmat pada Allah 



Mata adalah jendela dunia. Tanpanya, hidup terasa tak sempurna. Sedih dan mengeluh itu pasti terjadi pada sebagian manusia yang kehilangan penglihatannya. Tapi tidak dengan anak kecil cacat penglihatan dari Mesir ini. Ia adalah salah satu hamba Allah yang ikhlas atas ketetapan-Nya.

Pengacara TV Arab Saudi Al-Wathan mewawancarai anak istimewa ini. Seorang anak laki-laki cacat penglihatan penghafal Al-Qur’an dari Mesir yang berusia 11 tahun.

Dalam wawancara itu pengacara TV Al-Wathan menanyakan tentang bagaimana ia belajar Al-Qur’an dan kebutaannya.

Semangatnya untuk menghafal ayat-ayat Allah yang mulia membuat langkah kakinya ringan untuk pergi ke tempat gurunya.

“Saya yang datang ke tempat syeikh,” katanya.

“Berapa kali dalam seminggu?” tanya pengacara. “Tiga hari dalam seminggu,” jawabnya.

Jawaban anak ini kian membuat terkejut ketika anak ini memberitahu  bahawa Syeikh yang mengajarinya Al-Qur’an hanya mengajarinya satu ayat sehari.

“Pada awalnya hanya satu hari dalam seminggu. Lalu saya meminta  sungguh-sungguh agar beliau menambah harinya, sehingga menjadi dua hari dalam seminggu. Syeikh saya sangat serius dalam mengajar. Beliau hanya mengajarkan satu ayat saja setiap hari,” ujarnya.

“Satu ayat saja?” respon pengacara terkejut, takjub dengan semangat waja anak ini.

Dalam tiga hari itu ia khususkan untuk belajar ayat-ayat suci Al-Qur’an, hingga ia tidak bermain dengan kawan-kawan sebayanya. Si pengacara tersenyum dan menepuk paha anak itu tanda kagum, yang disambut senyum ceria oleh anak ini.

Yang lebih mengagumkan adalah pernyataannya tentang kebutaannya. Ia tidak berdoa kepada Allah agar Allah mengembalikan penglihatannya, rahmat Allah yang ia harapkan.

“Dalam solat, saya tidak meminta kepada Allah agar Allah mengembalikan penglihatan saya,” katanya.

Mendengar jawaban anak ini si pengacara semakin terkejut. “Adik tidak ingin Allah mengembalikan penglihatan? Kenapa?” tanyanya kehairanan.

Dengan wajah meyakinkan, anak itu memaparkan alasannya. Bukan ia tak yakin pada Allah. Bukan. Namun ia menginginkan yang lebih indah dari penglihatan.

“Semoga menjadi keselamatan untuk saya pada hari pembalasan (kiamat), sehingga Allah meringankan perhitungan (hisab) pada hari tersebut. Allah akan menanyakan nikmat penglihatan, apa yang telah engkau lakukan dengan penglihatanmu? Saya tidak malu dengan cacat yang saya alami. Saya hanya berdoa semoga Allah meringankan perhitungan-Nya untuk saya pada hari kiamat kelak,” paparnya dengan tegas.

Mendengar kalimat mulia anak ini, semua diam. Pengacara nampak berkaca-kaca dan air matanya menitis. Para penonton di stesyen TV serta kru TV tersebut juga tak tahan, sehingga tak terasa air mata pun tumpah!

penghafal quran tuna netra dari mesir

“Pada saat ini, saya teringat banyak kaum Muslimin yang mampu melihat namun bermalas-malasan dalam menghafal kitab Allah, Al-Qur’an. Ya Allah, bagaimana alasan mereka besok (di hadapan-Mu)?” kata pengacara.

“Segala puji milik Allah dalam segala keadaan,” kata penghafal Qur’an muda ini.

Subhanallah, indahnya dunia tak membuatnya lupa akan Rabbnya dan hari pembalasan.

Ia juga menyatakan bahawa ia terinspirasi dari kaedah Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah (rahimahullah).

“Kaedah Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah yang berbunyi ‘Allah tidak menutup atas hamba-Nya satu pintu dengan hikmah, kecuali Allah akan membukakan baginya dua pintu dengan rahmat-Nya’,” katanya.

Kehilangan penglihatan sejak kecil, tidak membuat ia mengeluh kepada Sang Pencipta. Ia tak iri pada orang lain apa lagi kufur nikmat. Ikhlas menerima takdir-Nya.

“Segala puji milik Allah, saya tidak iri kepada kawan-kawan meski sejak kecil saya sudah tidak boleh melihat. Ini semua adalah qadha’ dan qadar Allah,” katanya.

“Kita berdoa kepada Allah semoga menjadikan kita sebagai penghuni surga Al-Firdaus yang tertinggi,” kata anak istimewa ini.

Matanya yang buta, tak membuat hatinya buta dalam mensyukuri nikmat yang telah Allah berikan.

Subhanallah.

Dalam sebuah hadits Qudsi Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَالَ: إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِي بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ، عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الجَنَّةَ

Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan menghilangkan penglihatan kedua matanya lalu ia bersabar, nescaya Aku akan menggantikan penglihatan kedua matanya dengan syurga,” (HR. Bukhari no. 5653, Tirmidzi no. 2932, Ahmad no. 7597, Ad-Darimi no. 2795 dan Ibnu Hibban no. 2932).

Diterjemah secara bebas dari Salam-Online. 

Bagaimana dengan kita yang diberi nikmat penglihatan sepanjang hayat? Tidakkah mahu kita berfikir? Apakah alasan untuk tidak membaca kalimah -Nya, kalaupun tidak menghafal?
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Ahad, 3 Februari 2013

Norodom Sihanouk Yang Saya 'Kenal'


 

Saya mengenali Norodom Sihanuok [ketika itu pangkal namanya ada perkataan Putera] pada tahun 1975.

Kami belajar Sejarah di Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz]. Gurunya Cikgu Abdul Samad. Dia bercerita tentang Teori Domino.

“Vietnam Selatan telah jatuh ke tangan komunis. Kemudian menyusul kejatuhan Kemboja. Selepas ini, mungkin Thailand. Selepas itu lagi…..”

“Malaysia!!!!”jerit kami sekelas sekuat hati.  Ada deraian ketawa di hujungnya, mungkin seronok dapat menyebut serentak begitu.

 Semasa itu, manalah kami tahu apa-apa.

Cikgu Abdul Samad menggeleng kepala. Dalam sebak dia mengandaikan jika Malaysia jatuh ke tangan komunis. Kesannya kepada negara, agama, kami dan keluarga. Bijak dia mengambil beberapa contoh yang menyentuh hati. Saya tidak ingat, tetapi ramai juga pelajar kelas itu – semua pelajar tingkatan Dua E adalah lelaki – menangis! Kemudian beramai-ramai kami berdoa agar komunis tidak menjajah Malaysia!

Dari Cikgu Abdul Samadlah pertama kali saya mendengar nama Putera Norodom Sihanuok. Tahu sedikit susur galurnya. Kemudian setiap hari, di dalam akhbar di perpustakaan saya terbaca namanya. Kerap juga namanya muncul sebagai bahan berita di radio.

Sihanuok
Suharto
Ketika itu, saya tidak kisah sangat tentang peranannya di Negara Kemboja. Cuma jika ada gambar Presiden Suharto [Indonesia], kadangkala saya keliru dengan wajah Norodom. Ada iras entah bahagian mana…..
 
Sejak menjejak ke sekolah menengah saya gemar membaca akhbar. Dari muka satu hingga muka akhir. Malah tulisan pojok pun saya baca.

Salah seorang kolumnis yang saya gemar adalah pejuang  berhaluan ‘kiri’ arwah Dato’Ahmad Boestamam [atau Abdullah Sani], bapa kepada arwah Rustam A Sani, seorang lagi penulis yang saya minati. Saya pernah membeli dan membaca beberapa buku memoir tulisan Ahmad Boestamam terbitan Amir Enterprise. Paling diingati adalah buku Tujuh Tahun Malam Memanjang yang menceritakan bagaimana dia berada di dalam tahanan British selama tujuh tahun. Ketika umur belasan tahun saya cukup hiba mengingat cerita bagaimana dia dibawa pergi meninggalkan isteri dan anak-anak – termasuk seorang anak perempuan yang bisu……

Dato’ Ahmad Boestamam mempunyai satu kolum di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hujung usianya. Ada dua catatannya yang cukup saya ingat sampai kini. Pertama, apabila bekalan air dan elektrik di kejiranannya di Taman Greenwood terputus pada suatu malam. Apalah sangat yang dapat dilakukan di dalam gelap......, tulisnya. Subuhnya, dia tidak dapat solat kerana tiada air untuk mandi yang dimestikan! Sebagai pelajar, saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami tulisan tersebut!

Tulisan kedua adalah tentang Rumpun Melayu bermula dari Semenanjung Champa hingga Nusantara. Di utara termasuklah sama Kemboja. [Semasa ini ada yang mengenalinya sebagai Kampuchea]. Sayang, tulisnya, agama Islam tidak begitu meluas di negara tersebut. Jika tidak Putera Norodom Sihanouk tentulah bernama Putera Nor Adam Shah An Nor!

Saya tersengih lama membaca ilusi tersebut......

Lama saya tidak kisah sangat dengan insan yang dua kali menjadi Raja Kemboja itu [ 1941-1955 dan 1993 – 2004.

Cuma saya membaca riwayatnya di dalam sebuah akhbar sehari selepas dia meninggal pada 15 Oktober 2012 di Beijing, China – dalam 16 hari sebelum menyambut ulangtahun hari lahirnya yang ke-90.  

Selepas itu, saya teringat nama yang dinukilkan untuknya oleh Dato’ Ahmad Boestamam, lebih tiga dekad lalu.

Lama pula saya terlupa akan hal itu sehinggalah difahamkan mayatnya akan dikebumikan mengikut adat pengkebumian diraja di negara kelahirannya pada hari Isnin, 4 Februari 2012.

Kalau dia Tuanku Nor Adam Shah An Nor.............

Marilah sesekali kita hadiahkan bacaan AlFatihah kepada arwah Dato' Ahmad Boestamam  yang juga mempunyai nama pena Ruhi Hayat. Beliau pejuang kemerdekaan negara yang jarang didendang - pernah melalui jalan beronak demi kebebasan bangsa dan tanah air. Semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah. Amin.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails