Jumaat, 26 Oktober 2012

Sambal Belacan, Aku Dan Kenangan


Semasa arwah Paktam bekerja di Terengganu, pada awal dekad 80-an, dia selalu bercerita tentang dua kumpulan muzik yang berasal dari negeri itu. Paktam bukanlah pemuzik tetapi dia rapat dengan sekurang-kurangnya teman akrab anggota kumpulan berkenaan. Kiranya saya mendapat info yang paling hampir dengan kedua-dua kumpulan tersebut. 


Pertama, kumpulan The Brain Connection dengan penyanyinya Kamal Halim, pernah muncul dengan lagu yang segar hingga kini, Aku Dan Kenangan. Lagu-lagu lain dalam album tunggal itu terbitan tahun 1980 itu adalah:

  • Gadisku
  • Pergi Tanpa Pesan
  • Joget Pulau Kapas
  • Harapanku Kau Bawa Pergi
  • Adikku Juliana
  • Mari Menari
  • Menghibur Duniaku
  • Penantian
  • Usah Kau Pergi
  • Joget Orang Bercinta
  • Berhibur Di Malam Minggu

Paktam menceritakan keberuntungan ini kerana mempunyai pengasas yang kaya, lalu peralatan muziknya sentiasa yang termahal ketika itu. Contohnya, set drum dibuat daripada  kaca..... Saya berdecit mendengar cerita itu. 

[Manan Ngah, komposer terkenal kemudiannya, mula mengenali dunia rakaman ketika menganggotai kumpulan inilah. Kamal Halim kemudiannya menjadi pendakwah dan pernah merakamkan lagu-lagu ketuhanan. Difahamkan, pemain dram kumpulan ini pula telah meninggal dunia pada 29 Ogos 2011.]

Kedua, adalah kumpulan Pea Bees. Paktam ada menyebut tentang asal huruf PB yang dipilih bagi menamakan kumpulan ini tetapi saya sudah terlupa...Kumpulan ini pernah menghasilkan sekurang-kurangnya 3 album yang unik bagi saya. Tiga album tersebut berjodol Berjamu Selera Dengan ... PEA BEES, Tayar Botak dan Buah-buahan Malaysia. 

Saya rasakan keunikan bukan sahaja terletak pada jodol album yang tidak komersil tetapi juga pada jodol dan lirik lagu-lagu mereka (terutama yang bertanda * di bawah). Yang rasanya tidak berani diterbitkan oleh kumpulan lain.......

Sayang sekali kesemua lagu kumpulan ini, kecuali lagu Burger Malaysia [lihat dan dengar di sini], tidak saya terjumpa di mana-mana laman web. 


BURGER MALAYSIA

Rupanya bulat terbelah di tengah
Berbagai ramuan dan ketchup
Disumbat penoh
Semua orang akan kata
Selepas merasanya
Pass… satu lagi
Rasanya enak sekali
Apa benda ini
Makanan zaman ini
Tak tahu tapi berahi

Dan di semua sudut di Malaysia
Terdapat pondok burger
Dan di semua sudut di Malaysia
Terdapat pondok burger
Menunggu kamu semua
Menikmati rasanya
Tak tahu dari mana datangnya
Makanan yang kini dianggap nasional

Diuruskan kaum belia yang ingin berjasa
Dan di semua sudut di Malaysia
Terdapat pondok burger
Ku kata beri ku satu lagi
Rasanya enak sekali
Katanya yang mana
Yang bulat ke panjang
Ah… Usahlah ditanya
Katakan saja burger
Namanya jangan diambil kira
Rasanya sedap saja


Untuk album Berjamu Selera Dengan ... Pea Bees, terbitan  tahun 1982, mereka melagukan:

  • Burger Malaysia*
  • Teh Lambung*
  • Hayalan Mimpi
  • Durian*
  • Sepintas Lalu
  • Kena Loteri*
  • Jangan Membisu
  • Harmoni*
  • Nasibku Nasibmu

Di dalam album Tayar Botak, kumpulan yang dianggotai oleh Joey, Joel, Manzan dan Elkan bersenandung bersama lagu-lagu:

  • Tayar Botak*
  • Embun*
  • Kembali
  • Rayuanku
  • Pandu Laju*
  • Antara Dua Cinta
  • Gadis Sekolah*
  • Salina 
  • Ingin Tahu
  • Cuba Lagi*
  • Tayar Botak **(memang ada dua kali lagu Tayar Botak - setiap satu pada setiap muka kaset....)

Bagi album Buah-buahan Malaysia, terbitan tahun 1981, kumpulan  ini menyanyikan lagu-lagu:

  • Buahan Malaysia*
  • T.L.R.C*
  • Jeruk Petai*
  • Rokok?*
  • Sambal Belacan*
  • Aedes*
  • Cinta
  • Cik Adik Sayang
  • Pisang Tak Berbuah Dua Kali
  • Nasi Kunyit*
  • Ku Tahu Kini
  • Denggi*
Album Buah-buahan Malaysia cukup saya kenang. Paktam membawa pulang album tersebut. Setiap hari saya mainkan lagu-lagu yang terdapat di dalamnya hingga sebahagiannya masih lekat di ingatan. 



Saya cuba menyemak dari kulit album ini yang dipaparkan oleh seorang penyimpan khazanah muzik, malangnya, tidak begitu jelas di mata saya. Lalu terpaksalah digunakan deria sendiri untuk mencari.

Anda telitilah sebahagian lirik yang saya simpan di minda, berjaya diselongkar, yang muncul kembali ketika menulis tentang belacan......

T.L.R.C:
(maksud TLRC adalah teh lambung - teh tarik - dan roti canai. Untuk album Berjamu Selera... ada lagu Teh Lambung. Saya tidak tahu adakah persamaan pada kedua-duanya kerana tidak pernah mendengar lagu Teh Lambung).

Yang saya ingat hanyalah:
mamak
beriku satu teh lambung
...........
...........
mamak
roti canai tak cukup lagi

Pada hujung lagu terdapat dialog:
Mamak, kira berapa semua!

Jeruk Petai:

Kuberjalan di lorong itu
............
apa baunya itu
apa baunya itu
kutanyakan kawanku
apa itu?
itulah jeruk petai

Rokok?:

Kau merokok?
Ku tak peduli
jangan hembuskan asapmu ke mari

Cik Adik Sayang:
(Lagu ini saya ingat hampir 75% liriknya kerana pernah dimainkan juga di dalam acara 'music chair' bagi Pesta Sukan Rakyat sekolah lalu popular sekejap di bibir para pelajar....)

Hai cik adik
mengapa kau berpakaian begitu
..............
Tahukah engkau 
cinta itu hanya mainan
usah membakar diri sendiri

Hai cik adik
tunggulah sabarlah sayang
kerana usiamu masih muda

Elok kau belajar dulu
masa depanmu akan terjamin
kalaulah sudah ada jodoh
bolehlah[barulah] kita naik pelamin....
Cik adik!

Nasi Kunyit:

.........................
.........................

c/o
Nasi kunyit masakan Melayu
'dah terkenal sejak dahulu
kecil besar tua muda semua tahu
diguna pelbagai cara
majlis kecil majlis besar
nasi kunyit memang kebanggaan kita!

Sambal Belacan:

Jikalau anda
ingin makan di warung atau di restoran
jangan lupakan ulam-ulam
dan sambal belacan

sambal ciptaan nenek moyang
................
...................

Sambal belacan
sambal belacan
segera membuka selera makan
tanpanya ku takkan datang
makan di rumahmu
bila diundang.....

Demikianlah.

Adakah lagu-lagu sebegini akan diterima oleh syarikat rakaman jika dicadang untuk diterbitkan?

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Usah pasrah, berterima kasihlah pada teknologi dan tuan punya yang upload hampir kesemua lagu dalam album Pea Bees 'Buah-buahan Malaysia' di Youtube :)

Link:
https://www.youtube.com/watch?v=cNOsY-BzE2E



Usop Lobe berkata...

Terima kasih, Sdr.tanpa nama.
Ada banyak juga lagu Pea Bees di youtube...

silakan sesiapa merujuk..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails