Selasa, 16 Oktober 2012

Remy Ishak Atau Remy Isyak?


  


Remy Ishak.

Anda kenal pelakon ini? Baguslah. Peminat setianya? Lagilah bagus.

Bagaimanakah anda menyebut nama pelakon ini?

Nanti dahulu.

Bukanlah pandir sangat sehingga perlu untuk saya bertanya tanpa sebab.

Bukan sekali saya mendengar namanya disebut.  Dia pula bukanlah pelakon yang baru muncul dalam satu drama tv sebagai ahli lembaga pengarah syarikat yang tidak mempunyai sebaris dialog itu….

Dia telah berlakon dalam belasan filem dan puluhan drama. Paling diingati rezeki yang diperoleh kerana diberi peranan penting dalam drama – kemudiannya difilemkan – OMBAK RINDU arahan Kabir Bhatia.

Akan cerita sekitar lokasi tentang keintimannya dengan pelakon wanita yang mula didampingi  sejak  OMBAK RINDU kita biarkanlah. Kisah putus sambung hubungan merupakan pra syarat untuk sering muncul di media. Biarlah. Di Hollywwod pun ada berlaku, walaupun telah bergabung badan dan nama, apalah lagi di tempat kita yang masih beradat dan beradab sopan ini……

Namun saya hanya tertarik dengan nama pelakon kelahiran Negeri Sembilan ini.

Pada satu malam, saya tertonton satu rancangan tentang filem yang dihoskan oleh seorang yang di depan kamera nampaknya peramah dan ceria. Saya kenal dengannya malah tahu siapa isterinya, tapi tidak mungkinlah dia kenal saya….

Ketika menyebut nama Remy Ishak, di situlah terletaknya tarikan untuk saya. 

Dia menyebut Remy Isyak! Isyak untuk ejaan I S H A K?

Shillachi
Sean
Nanti dahulu.

Arnold
Saya bukan begitu pandir untuk menyebut secara salah nama Arnold Schwarzenegger, Salvatore Schillachi, Sean Connery atau Anastasia Steele. Saya tahu bagaimana peminat James Bond menyebut Sean, misalnya, yang tidak mengikut ejaan.
Tapi ini nama Melayu/Islam.

Ishak.

Ia adalah nama salah seorang nabi dan rasul yang diajarkan ke telinga kita sejak kecil. Nabi Ishak. Ada tertulis berkali-kali namanya di dalam al Quran.

Saya percaya sesiapa yang bernama Ishak, pasti ibu ayahnya merujuk kepada nama nabi itu sebagai nama bagi permata hatinya pula. Maka, demikianlah juga kepada datuk Remy – maaf, saya terlupa apa nama asal si Remy itu. Semasa mendapat cahaya mata lelaki, si ayah dengan bangga mendaftarkan kepada penghulu/penggawa/polis bahawa Ishak adalah nama anaknya……

Demikianlah.

Pengacara itu bukan bersendirian. Ramai juga yang bernama Ishak sendiri, memperkenalkan diri sebagai Isyak. Apa lagilah orang lain.

Namun sebagai pengacara, beliau haruslah merujuk untuk menyebut sesuatu nama. Khabarnya ada pembaca berita yang merujuk kepada kedutaan sesuatu negara untuk menyebut secara tepat nama seseorang dari negara berkenaan, semata-mata tidak mahu menyinggung atau ditertawakan. Jadi apalah salahnya nama Ishak juga dirujuk. Ia ditonton oleh segenap lapisan. Bayangkan berlaku perbalahan antara guru tadika jika anak-anak kecil lebih percaya pengacara bahawa nabi dan rasul yang bertulis Ishak dibaca sebagai Isyak!

Jika Remy sendiri mahu Ishak itu disebut Isyak, tukarlah sahaja kepada Isyak atau lebih hebat lagi jika dieja sebagai Ischaq atau Iysshuck. Eleh, Remy itu sendiri bukankah satu gubahan nama asal?

Bukan semua boleh kita lafazkan dalam slanga 'mereka'....

Konservatif sangatkah saya?


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails