Saya ke Kuala Kedah. Ketika minum di gerai berdekatan jeti, diketahui ada semacam pameran di SM Kubang Rotan dirasmikan oleh Dato Seri Syed Razak, MB Kedah ketika itu. Saya menjengah ke situ. Baru jam 8. 15. Orang mula memeriahkan acara. Di satu penjuru, ada kumpulan orang paling ramai. Saya menghala ke situ.
Kiranya ada kru RTM mengendalikan siaran Selamat Pagi Malaysia. Di atas pentas, Hj Ngasri Sain (bapa Bell, Anne dan Darling [ sedap-sedap nama timangan mereka...]) sedang berbicara dengan Dato A Rahman Hassan dan isterinya Datin Azizah Mohammad. Saya tak ingat apa yang dibualkan, tapi tentulah seputar irama 60-an.
Di sebelah mereka, di kanan pentas, terdapat lima enam orang pemuzik dengan instrumen masing-masing. Kemudian dimaklumkan bahawa mereka adalah Kombo RTM Pulau Pinang, pimpinan Basir Ahmad. Saya sering mendengar permainan kombo ini menerusi Radio Malaysia Pulau Pinang. Sekadar mendengar dan tidak pernah tahu bagaimana wajah Basir. [Seperti Sabariah Mansor yang tidak mengetahui wajah Kasim Selamat di dalam filem Ibu Mertuaku...] Basir Ahmad adalah pemimpin kumpulan pop yeh-yeh terkenal dari utara, Orkes Teruna Ria yang mengiringi L Ramlee.
Ketika bicara berterusan di pentas, seorang lelaki berkacamata separa gelap, berbaju batik, berjalan melintasi kami. Tersenyum dan melambai ke arah kami. Memegang mikrofon, dia diminta oleh seseorang berdiri di tepi anak kelapa setinggi berdiri, beberapa meter dari sisi pentas, tidak jauh pula dari pagar padang sekolah.
Siapa dia? Kerana baru sampai saya tak sempat mendengar pengenalan oleh Hj Ngasri.
Perbualan di pentas tiba-tiba dihentikan, sesuai dengan isyarat dari seseorang tadi (pembantu penerbit, agaknya). Hj Ngasri menyebut, "silakan!" maka berkumandanglah lagu Peracun Kalbu.
Kiranya lelaki tadi adalah A Rahman Onn!
Inilah antara penyanyi 60-an yang jarang muncul di media cetak tapi cukup diminati lagu-lagunya. Dia bersama abangnya menganggotai kumpulan The Strangers. Di antara lagunya ialah Aku Nak Pulang, Cincin Emas Telah Diterima, Julaiha dan semestinya Cincin Emas.
Meski hanya bersua pada abad ke 21, dan setelah dimamah usia, saya puas. Kami masing-masing sempat berbalas senyum ketika dia berjalan ke arah kelompok penonton yang berdiri, bersalam sambil menghabiskan lagu itu.
Ketika menulis ini, saya memasang lagu Chinchin Emas......
Pemberianku tak diterima
Kutanya mengapa
Dengan perlahan dia berkata
Dia sudah ada yang punya
Kutanya mengapa
Dengan perlahan dia berkata
Dia sudah ada yang punya
Cincin emas dikembalikan
Diletak di tapak tangan
Ku pakai di jariku
Untuk kenanganku.....
Diletak di tapak tangan
Ku pakai di jariku
Untuk kenanganku.....
Tiba-tiba saya teringat arwah emak.
Kerana saya melagukan berkali-kali dua bait tersebut tanpa memahami makna, baik ketika mandi atau saja-saja ingin bernyanyi, satu hari emak menegur,. "Orang jantan mana boleh pakai cincin emas?"
Saya ternganga. "Nyanyi saja....." balas saya.
Emak tetap memberikan sebab bersekali dalil larangan lelaki memakai hiasan emas, meski saya terus ternganga.
Bertahun-tahun kemudian, setelah mendengar kuliah ustaz, barulah saya memahami apa yang emak terangkan dahulu - semasa saya masih belum menjengah ke sekolah menengah.......
Cincin emas.....
Sekecewa mana pun kita sebagai lelaki, simpan sahajalah cincin kenangan tersebut sehingga ada yang sudi menerimanya.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan