Sukan SEA 1977. Dari 19 hingga 26 Disember.
Stadium Medeka,
Kuala Lumpur.
Inilah kali pertama sukan serantau itu meluas ke seluruh Asia Tenggara [
South East Asia]. Sebelumnya ia dikenali sebagai
Sukan SEAP -
South East Asia Peninsular.
Di sinilah beberapa hal terus melekat di minda. Penjaga gol pasukan bolasepak Filifina, sebuah negara yang begitu asing dalam sukan itu, mengenakan jersi berangka
'0'....Malaysia menewaskan pasukan itu sebelas gol tanpa balas....Kemudiannya Malaysia memenangi pingat emas buat kali pertama dalam ibu segala acara itu....Penguasaan Malaysia dalam badminton berakhir dengan kemunculan pertama Indonesia....Pertarungan klasik
Khoo Chong Beng dan
V Subramaniam bersama atlet Burma dalam acara jalan kaki......
Marina Chin [kini Dato' - Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil] menjadi idola gadis seluruh negara dan posternya berada di bilik ribuan pemuda....
RTM menyiarkan liputan menyeluruh. Ramai terlibat dalam memancarkan siaran langsung atau sedutan acara, tentunya. Namun, seorang saja menjadi perantara di studio selama lapan hari itu - siang dan malam. Beliau mengulas, menemubual tetamu, menghubungkan antara gelanggang. Pada acara penutup - untuk berjumpa pula Sukan SEA Jakarta 1979 - beliau hampir kehilangan suara.
Tan Sri Ghazali Shafie [arwah], orang kuat temasya, yang amat berpuas hati dengan pencapaian atlet negara serta kelancaran kejohanan, dalam temubual di studio, berkata: tinggal satu pingat yang belum diserahkan, iaitu untuk
Rahim Razali - perantara tersebut! (Beberapa hari kemudian saya terbaca betapa anak beliau bagai mengawal tetamu dari berjumpa si bapa yang keletihan......)
Sejak itu saya mengagumi insan serba boleh ini. Lama sebelum itu saya hanya terbaca tentang bakatnya dalam teater bersama
Ahmad Yatim dan lainnya. Tetapi penampilan dalam mengendalikan siaran tv sepanjang seminggu itu seperti mendekatkannya dengan hati saya.
Beliau kemudian muncul dalam drama
Dayang Suhana [1978] - bergandingan dengan Rubiah Suparman, meninggalkan kesan makin dalam di hati.
Pada tahun 1981, beliau mengarahkan dan berlakon dalam filem
ABANG, yang bagi saya cukup lain dari jalur filem arahan bekas penghuni Jalan Ampas, Singapura. Dialog yang menarik, bernas - malah dihafal oleh penonton yang berulang ke pawagam - jalan cerita hebat serta dibantu penghayatan pelakon seperti
Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Serigar, Noor Kumalasari, Tamam Idris, Fauziah Ahmad Daud dan lainnya, seakan mencipta fenomena baru. Dia semakin saya hormati.
Lelaki bergelar Dato' kemudiannya ini muncul dengan beberapa buah filem lagi. Sesekali terbaca berita beliau mendeklamasikan sajak. Muncul dalam teater. Dan akhir-akhir ini, melepasi usia 70-an, sering pula diberi peranan dalam drama tv.
Lulusan Universiti Melbourne dalam jurusan Chartered Accountancy ini telah memenangi beberapa anugerah pengarah, penulis skrip, lakonlayar, pelakon pembantu dan pelakon terbaik dalam beberapa Festival Filem Malaysia - kepelbagaian cabang yang belum lagi dijejaki individu lain....
Meski pelbagai bakatnya, bidang lakonan seolah memberi kepuasan kepadanya untuk terus aktif. Biar sekecil mana watak itu, dia akan menerimanya.
Dalam Anugerah Skrin di TV3 baru-baru ini, dia menerima watak seorang sultan di pentas utama. Mulanya hati saya tidak menyetujui kemunculannya di tengah kelompok yang tidak 'seberapa' itu. Sekali dia tidak dapat membaca kerana ketiadaan kacamata. "Kantoi!" kata teman sepentasnya. Sekali lain, dia tidak mendengar perbualan seorang 'tetamu' - mungkin dalam keriuhan di dewan. "Dapat ....... pun pekak!" kata teman sepentas yang belum pun lahir ketika Dato' itu muncul sebagai orang Asia yang dipilih memegang watak
Hamlet dalam teater
Hamlet semasa di Australia.......
Hati saya terluka. Saya matikan tv. Sebelum itu pun saya sedang berkira-kira untuk merentap kabel tv tatkala seorang penyampai anugerah bertanya seorang pemenang: mahukah mengambilnya sebagai isteri?!
Ramai yang terkernyih agaknya, keseronokan......
Dato' Rahim, inikah antara harga seorang tokoh?
Maka ketika seorang rakan bertanya siapa yang menang apa dalam anugerah pada malam itu, saya hanya menyanyikan satu baris lagu dari kumpulan kegemarannya -
Wings - bertajuk
Mimpi Misteri Syakila:
..... aku pun tak tahu..........
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.