Demikian tanya saya kepada seorang rakan - bekas peminat tegar penyanyi yang meledak dari rancangan Akademi Fantasia itu. Hampanya saya kerana, seperti selalu, sejak dua tahun ini, tiada akan muncul jawapan dari kawan tersebut. Malah dikatanya saya seolah memperlinya.....
Dulu dia cukup marah kalau saya bertanya kenapa dia ikut ketawa bersama penonton di auditorium, sedangkan ketika itu kami di kedai makan, tatkala Mawi menggaru hidungnya semasa diajukan soalan oleh seorang pengacara rancangan hiburan.
Dulu dia ketawa mengekek mendengar Mawi mengajuk jawapan bekas buah hatinya, "Ya...bang!" semasa muncul dalam satu lagi program hiburan.
Dulu, di rumahnya ada sekotak mi segera yang dibalut kemas, tanpa diusik isinya, diletakkan di dalam almari perhiasan kerana ada wajah Mawi sebagai duta produk.
Dulu.......
Seorang kenalan membeli kesemua kaset ceramah ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Setiap kali ke tapak pasar malam atau tapak ceramah, dia akan membawa satu senarai tajuk ceramah agama ustaz tersebut yang telah dimilikinya. Jika terjumpa yang belum terdapat di dalam senarai, dia akan membeli. Dalam perjalanan pulang dia akan memasang kaset itu di dalam kereta dan menyambung atau mengulang pasang di rumah pula untuk didengari seisi keluarga. Tidak kira ceramah di Masjid Sultanah Bahiyah atau Kilang Lama, Kulim, atau mana-mana sahaja, dia mesti menyimpan satu salinan di rumahnya.
Lama kemudian, ketika seorang rakan menziarahinya, dia mengunjukkan dua bekas kampit beras yang dipenuhi kaset yang diletakkan di luar pintu.
"Nak balik nanti, hang bawa balikla. Letak tang mana-mana...."katanya kepada rakan yang tercengang.
"Apa 'tu?"
"Kaset Shamsuri!" katanya sambil menjuihkan bibir. "Aku tak mahu dengar dah. Dia tak sejalan dengan aku!"
Maka janganlah salahkan saya apabila menasihatkan seorang anak buah yang sedang taksub hingga menubuhkan sebuah kelab peminat untuk seseorang yang sedang sejalan dengannya.
Takdirnya satu hari mereka tidak sejalan, jenuhlah pula saya menerima cd berisi kuliah dan ucapan idola masakini anak buah itu......
Dalam hidup, demikianlah antara yang dapat kita perhatikan.
Maka, bersederhanalah dalam menyanjung atau membenci sesama insan.
Jalan itu masih panjang........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan