Isnin, 14 Januari 2013

Mengenang Hari Lahir Anak Itu



Dia meninggalkan rahim ibunya pada 14 Januari.

Si ibu meninggalkannya serta seluruh isi dunia pada 23 Julai. Tahun yang sama.

Hanya enam bulan dia merasai kehangatan pelukan ibu. Hanya enam bulan ibu melihat wajah si anak. Dalam tempoh tersebut, si ibu menderita sakit. Berapa sangatlah masa yang ada, yang benar-benar berkualiti dalam hubungan hayat mereka……. Dan apalah sangat yang dapat diingat si anak pada usia enam bulan……

Demikian ujian Allah kepada salah seorang makhluk-Nya.

Dia tidak mengerti apa-apa pada pagi 22 Julai melihat dari atas dukungan neneknya, si ibu berangkat ke klinik dan akhirnya ke hospital setelah lebih 3 bulan pelbagai usaha dilakukan merawat sakit yang tidak diketahui puncanya.

Dia tidak tahu itulah hari terakhir dapat melihat ibu yang masih bernafas kerana 26 jam kemudian dia tidak juga mengerti kenapa orang begitu ramai berkumpul dalam sedan yang tidak terkawal. Dia tidak mengerti melihat dari atas dukungan entah siapa, sebuah kereta mayat berhenti betul-betul di depan pintu rumah datuknya. Dari kereta itu, diusung keluar ibunya yang kaku…… Dia tidak tahu bahawa si ibu telah terhenti nafasnya dua jam yang lalu… Dia tidak pun mengerti kenapa semua yang memandang atau mendukungnya akan menangis. Dia tidak tahu kenapa datuk dan neneknya menangis. Dia tidak tahu kenapa ayahnya dengan muka bekas berbasuh sebaik turun dari kereta mayat, menjadi merah mata tatkala memeluknya. Dia hanya menangis kerana dipeluk terlalu kuat. Dia tidak tahu kenapa badan ayahnya terhinggut-hinggut.

Hingga ke malam rumah itu dipenuhi orang. Dia tidak mengerti mengapa ayah meletakkannya berhampiran pipi ibu yang kaku. Dia menangis diperlakukan begitu lalu didukung oleh seseorang. Ayah mencium pipi ibu. Dia tidak tahu kenapa semua yang melihat itu menahan sebak. Dia tidak tahu kenapa wajah ibu kemudian ditutup dan hujung kainnya diikat. Dia tidak tahu kenapa tubuh ibu yang dibungkus kemas, diletakkan di atas sekeping papan lebar  dibawa ke ruang depan. Bersesak orang lelaki berdiri menghadap balutan tubuh ibu.

Kemudian papan serta tubuh itu dibawa orang. Malam pekat. Semua yang keluar melalui pintu kemudiannya, terutama perempuan, menciumnya. Dia menangis diperlakukan demikian. Dia rimas.

Tujuh hari berturut-turut rumah datuknya dipenuhi orang. Setiap petangnya, ramai orang perempuan mendukungnya sambil bergotong-royong memasak. Dia seronok. Malam, sebelum tidur dia diriba oleh banyak orang. Selalunya ketika orang banyak sedang menjamu selera, dia sudah terlena…..

Dia tidak mengerti kenapa tiada kelibat ibu lagi…….

Membesar, dia kehairanan. Datuk ada nenek. Sebelah ayah, sebelah ibu. Kawan-kawan ada ayah, ada ibu. Dia hanya ada ayah. Ibu…..
 
Ayah rajin bercerita. Ibu cantik. Ibu baik. Ibu mahu anaknya juga cantik akhlak dan baik pekerti. Selepas seminggu dia dilahirkan, ibu minta ayah carikan kambing untuk aqiqah. Banyak kampung ayah masuk mencari dua ekor kambing jantan. Ibu mahu semua keluarga dijemput. Demikian juga semua kawan ayah dan ibu. Ibu mahu orang berendoi terbaik melagukan kalimah indah ketika anak dalam buaian yang dihias cantik.

Semua kehendak ibu dipenuhi. Dua kambing menjadi menu utama. Semua keluarga datang. Beberapa kawan ayah yang sama mengajar di AlFalah juga datang. Cikgu Mustaffa Mohamad datang bersama isterinya, seorang bidan kerajaan. Cikgu Abdul Azid Hussin, dengan berjubah, ikut hadir, dihidangkan kepala kambing, pesanannya sejak hari menerima jemputan. Empat lima guru lagi juga hadir tetapi ayah lupa memberitahu siapa mereka. Keluarga sebelah ayah ramai yang datang. Ahli berendoi terbaik daerah turut diundang. Anak didukung dan didendangkan qasidah. Banyak gambar menjadi bukti.
Dia melihat gambar-gambar itu. Ada wajah emak yang masih lemah bertungku. Ada wajah ayah mendukungnya. Ada wajah tuan imam mengiliknya. Ada wajahnya yang terlena di dalam buaian berhias cantik.

Dia tunjukkan gambar itu kepada nenek, kepada datuk, kepada ayah. Kepada ibu…..?

Mana ibu?

Dia tidak tahu.

Dia terus membesar tanpa ibu. Setiap pagi Jumaat ayah membawanya ke kawasan lapang yang ditumbuhi batu berpasang dengan pelbagai bentuk dan saiz. Ayah member salam. Di satu tempat dia diriba ayah. Ayah membaca sebuah buku kecil. Selepas itu ayah memegang tangannya supaya ikut menadah. Seketika kemudian ayah memegang batu yang bertulisan hitam. Ayah bercakap sendirian. Kadangkala ayah menangis. Kadangkala lagi, ayah memeluknya erat ketika bercakap sendiri itu.

Demikianlah.

Mana ibu?

Akhirnya dia berjaya melafazkan pertanyaan itu. Satu hari ketika dia bertelagah dengan seorang rakan sebaya yang mengugut untuk pulang memberitahu ibunya. Ayah terdiam lama. Mulut ayah kumat-kamit. Lama. Tetapi tiada jawapan untuk hari itu. Ayah hanya menyapu dua matanya….

“Emak di syurga!” kata ayah pada hari lain ketika dia bertanya tatkala mereka berdua di atas motor melintasi kawasan lapang yang ditumbuhi batu berpasang dengan pelbagai bentuk dan saiz. Oleh kerana bukan Hari Jumaat, ayah tidak singgah di tempat selalu itu.
Malam itu ayah keluarkan sebuah buku tebal berkulit warna biru.[Sila ke sini] Ayah tunjukkan foto ibu bersaiz poskad yang terselit di dalamnya. Wajah ibu cukup manis tersenyum. Ayah tunjukkan bab yang paling ibu suka. . Ayah membaca bab itu. Ada hadis tentang  seorang isteri yang akan ke syurga jika menjaga solat/ibadat, menjaga maruah suami serta mendapat redha suami... Kata ayah, dia redha kepada ibu, sedang ibu pula taat kepadanya dan kepada Rabbnya.

Dia hanya melihat dan mendengar tanpa mengerti apa-apa

Ayah menyimpan semula gambar ibu setelah menciumnya sekali. Ayah menangis. Dia tidak faham mengapa ayah akan memeluknya setiap kali mahu menangis. Cengkaman ayah cukup kuat. Dia kesakitan. Jika dirasakan tidak tertahan, dia akan ikut menangis. Lebih kuat dari tangisan ayah sehingga terpaksa didukung dan ditenangkan oleh nenek.
Pernah satu hari, ayah bertanya sesuatu kepadanya yang tidak tahu apa-apa dan tidak dapat menjawab apa-apa. Tetapi ayah terus menangis, mencempungnya ke bahagian atas rumah datuk. Di situ ayah menangis lagi sambil meribanya. Ayah belek gambar-gambar ibu yang berpakaian sekolah dalam album usang. Hampir setiap gambar ayah cium.

Dia masih tidak tahu apa-apa.

Seminggu kemudian, pada satu malam, ramai keluarga sebelah ayah berkumpul di rumah datuk. Dia mandi bersama ayah. Dipakaikan baju baru. Ketika di dalam bilik, ayah memeluknya kuat sambil menciumnya kuat-kuat juga. Ayah menangis dan dia ikut menangis sehingga nenek ikut naik mengambilnya lalu memujuk. Sebentar kemudian, ayah turun lengkap berbaju melayu, bersampin, bersongkok. Mata ayah merah…
Mereka bertolak di dalam lima biji kereta. Dia duduk di atas ribaan ayah. Setengah jam kemudian mereka sampai di sebuah rumah. Ramai orang menunggu di dalamnya. Dia ikut masuk bersama yang lain, lalu duduk di atas ribaan ayah.

Seketika kemudian, ayah dipanggil orang. Dia yang di atas ribaan ayah diangkat oleh seseorang. Dia meraung, memegang baju ayah. Akhirnya dia dibiarkan terus menggenggam bahagian belakang baju ayah. Ayah mengesot menghadap seorang tua berserban putih. Mereka bersalam lama. Ayah mengikut apa yang dilafazkan oleh orang tua berserban putih itu. Kemudian semua yang ada menadah tangan sedang dia terus menggenggam bahagian belakang baju melayu ayah. Badan ayah terhinggut-hinggut.

Seketika kemudian lagi, ayah dipanggil orang di pintu sebuah bilik. Ayah meletakkan si anak di atas ribaan seorang ahli keluarga sebelah ayah. Ayah berjalan masuk ke bilik itu. Kali ini dia tidak menangis. Ada gula-gula di dalam genggaman orang yang meribanya.

Lama kemudian, ayah keluar. Mendukungnya lalu dibawa ke dalam bilik. Ramai perempuan di situ termasuk dua orang ahli keluarga ayah.

“Salam dengan Ummi….”kata ayah sambil menyuanya kepada seorang perempuan memakai pakaian serba putih. Dia enggan lalu menangis. Perempuan berpakaian serba putih menggosok kepalanya. Ayah hanya menahan sebak sebelum mendukungnya ke luar bilik untuk bersama-sama semua yang ada menjamah nasi yang sudah dihidangkan.

Malam itu, setelah semua keluarga sebelah ayah pulang, di depan datuk, nenek dan adik tunggal ibu, ayah menangis lagi sambil memeluknya serta album usang tinggalan ibu. Dia yang tidak tahu apa-apa ikut meraung. 

Demikianlah.

Dia membesar dengan hanya mengenali ayah dan ummi kerana ibu pula telah berada di syurga, seperti kata ayah.

Ayah tahu, tidak mudah si anak menjalani hidup tanpa ibu. Lebih-lebih pula ayah bukanlah orang ada-ada.

Ayah pernah terbaca seorang tokoh, yang asalnya susah, pernah berkata: menjadi orang tidak ada-ada, kucing pun tidak mahu berkawan, kerana hatta tulang ikan pun tidak ditinggalkan untuknya…..

Terpinggir dan sering disalahtafsir. Terasing dan tidak diambilpusing.  Tetapi dia sudah lali dan tidak peduli. Hati terguris bukannya di dahi tempat tertulis…….
Dengan keadaan demikianlah dia, ayah dan keluarga menjalani hidup hingga kini.

Kini genap 18 tahun dia meninggalkan rahim ibu.

Tujuh belas setengah tahun pula dia ditinggalkan ibu.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran buat anakku, Muhd Safwan Hadi!

Jadilah anak/insan yang baik sebagaimana dicitakan ibu.
Tiada hadiah dari ayah selain catatan ini serta mendoakan kesejahteraanmu di sini dan di sana.

Semoga kita semua kembali bersama serta berbahagia di akhirat. Amin.

Ujian dari Allah datang dalam pelbagai cara, sayang.

Tabahlah, anakku.

DIA akan tetap bersama kita!


Kepadamu Aku Pasrah

Kepada Mu aku pasrahkan  
seluruh jiwa dan ragaku
hidup dan mati ada di tangan Mu 
bahagia sedih ada di jari Mu
 
Cukup lama aku mencari
menembus pekat dan menerjang kelam  
menyusuri langkah yang makin jauh 
adalah firman Mu pemandu jalanku
 
Batu gunung tetap tegak tegar 
meski angin geram menerkam 
Batu karang tak hendak terhempas
meski ombak menerjang terjang
 
Rindu keteguhan imanku 
hamparan langit biru uoh..uoh 
Kering airmata hapuslah duka 
adalah firman Mu pemandu jalanku
 
Kepada Mu aku memohon 
nyalakan semangat bangkitkan nyali         [nyali = keberanian - ed]
robohkan tantangan ombak lautan
rahasia hidup mesti terpecahkan

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 7 Januari 2013

AJL 27: Kenapa Camellia Yang Disunting?


 

Selesai AJL 27.

Hilanglah pekikan penonton yang seragam bagi setiap persembahan peserta.

Acara yang dikatakan berprestij itu masih seperti ulang tayang edisi lalu. Yang berubah tentunya hanyalah lagu. Juruacara masih yang sama. Masih lagi boleh melihat lengan pengacara wanitanya seperti tahun-tahun lalu. Doa saya agar dia mengenakan sekurang-kurangnya pra-tudung seperti Dato’ Siti masih terpaksa diteruskan…….

Siapa pun juaranya tidak penting. Hak juri telah dimuktamadkan.  Bersorak-sorailah penonton. Kalau lagu lain yang menjadi juaranya pun, sorakan akan tetap pada decibel yang sama. Mereka telah dibudayakan atau diprogramkan begitu……

Saya cuma tersentak dalam persembahan sementara menunggu diberikan keputusan. Empat gitaris , antara terbaik, bersama empat penyanyi dalam segmen  ‘Rock Never Dies’. Bernyanyi sakan penonton mengikut persembahan di pentas.

Betul, rock tidak pernah mati. Kalau mahukan sambutan hebat dari penonton, tampilkan penyanyi dan lagu rock. Pasti meledak. Beberapa acara lain sebelum ini pernah menampilkan  corak begitu. Anugerah Bintang Popular adalah antaranya. Anak muda yang belum lahir era rock kapak pun akan teruja……

Kenapa saya tersentak pada malam AJL 27 itu?

Selama ini berulang dilafazkan skrip: anugerah tersebut bertujuan memartabatkan lagu Malaysia ke persada dunia. Banyak lagu boleh dimuatkan dalam acara selingan itu, termasuk lagu-lagu rock yang pernah mendominasi AJL pada tahun 90-an dahulu.

Akan tetapi, pada lagu apakah penonton paling gamat  menyanyi? Camellia , yang dipersembahkan oleh Papa Rock -  Ramli Sarip - penyanyi asal kumpulan Sweet Charity dari Singapura.

Kurangkah lagu rock ‘berhantu’ dari Malaysia?

Untuk yang ‘baru’, lagu Camellia ada empat buah yang dirakamkan – Camellia I hingga IV. Menurut penciptanya ada dua lagi yang tidak dirakamkan. Camellia nyanyian Sweet Charity adalah yang kedua. Kalau dihayati, sebuah cerita terbentuk dari keempat-empat lagu tersebut. Cerita lara……


Camellia I

Dia Camellia
puisi dan pelitamu
kau sejuk seperti titik embun membasahi daun jambu
di pinggir kali yang bening

sayap-saayapmu kecil lincah berkeping
seperti burung camar
terbang mencari tiang sampah
tempat berpijak kaki dengan pasti
mengarungi nasibmu
mengikuti arus air berlari

dia Camelia
engkaukah gadis itu
yang selalu hadir dalam mimpi-mimpi di setiap tidurku
datang untuk hati yang kering dan sepi
agar bersemi lagi
hmm ... bersemi lagi

kini datang mengisi hidup
ulurkan mesra tanganmu
bergetaran rasa jiwaku
menerima harum namamu

 Camellia oh Camellia
 Camellia oh Camellia
 Camellia oh Camellia

Camellia II


(seperti yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip dari kumpulan Sweet Charity)


Camellia III

Di sini dibatu ini
 Akan kutuliskan lagi
 Namaku dan namamu
 Maafkan bila waktu itu
 Dengan tuliskan nama kita
Kuanggap engkau berlebihan

 Sekarang setelah kau pergi
 Kurasakan makna tulisanmu
 Meski samar tapi jelas tegas
 Engkau hendak tinggalkan kenangan
Dan kenangan

 Di sini kau petikkan kembang
 Kemudian engkau selitkan
 Pada tali gitarku
 Maafkan bila waktu itu
 Kucabut dan kubuang
Kau pungut lagi dan kau bersihkan

 Engkau berlari sambil menangis
 Kau dakap erat kembang itu
 Sekarang baru aku mengerti
 Ternyata kembangmu kembang terakhir
Yang terakhir

 Oh Camellia, katakanlah ini satu mimpiku
 Oh oh oh oh oh
 Camellia, maafkanlah segala silap dan salahku

 Di sini dikamar ini
 Yang ada hanya gambarmu
 Kusimpan dekat dengan tidurku
Dan mimpiku


Camellia IV

Senja hitam di tengah ladang
Dihujung permatang engkau berdiri
 Putih di antara ribuan kembang
 Langit di atas rambutmu
Merah tembaga
Engkau memandangku
Bergetar bibirmu memanggilku
 Basah di pipimu air mata
Kerinduan, kedamaian oh

 Batu hitam di atas tanah merah
 Di sini akan kutumpahkan rindu
Kugenggam lalu kutaburkan kembang
 Berlutut dan berdoa
Syurgalah di tanganmu, Tuhanlah disisimu
Kematian adalah tidur panjang
Maka mimpi indahlah engkau
Camellia, Camellia oh

Pagi
engkau berangkat hati mulai membatu
malam
kupetik gitar dan terdengar
Senandung ombak dilautan
Menambah rindu dan gelisah
Adakah angin gunung, adakah angin padang
Mendengar keluhanku, mendengar jeritanku
Dan membebaskan nasibku
Dari belenggu sepi ....


Demikianlah.

Semua lagu dan lirik dihasilkan oleh Ebiet G Ade. Nama aslinya Abid Ghoffar Aboe Dja'far Penyanyi dan penggubah tersohor dari Indonesia. Sekali lagi: Indonesia!


Maka, janganlah sesiapa – terutama artis – mengamuk pula, jika Julia Perez [Jupe], misalnya, bertweet bahawa Malaysia kekurangan lagu untuk dipersembahkan dalam acara khas mengangkat darjat negara……..


Saya meminati karya Ebiet. Maka, maafkan kami, Mas Abid! Kami terpesona pada buah tanganmu, hingga tersilap memberi tempatnya.........

Maaf!

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails