Selasa, 6 November 2012

Apa khabar Mawi sekarang?

Apa khabar Mawi sekarang?


Demikian tanya saya kepada seorang rakan - bekas peminat tegar penyanyi yang meledak dari rancangan Akademi Fantasia itu. Hampanya saya kerana, seperti selalu, sejak dua tahun ini, tiada akan muncul jawapan dari kawan tersebut. Malah dikatanya saya seolah memperlinya.....

Dulu dia cukup marah kalau saya bertanya kenapa dia ikut ketawa bersama penonton di auditorium, sedangkan ketika itu kami di kedai makan, tatkala Mawi menggaru hidungnya semasa diajukan soalan oleh seorang pengacara rancangan hiburan.

Dulu dia ketawa mengekek mendengar Mawi mengajuk jawapan bekas buah hatinya, "Ya...bang!" semasa muncul dalam satu lagi program hiburan.

Dulu, di rumahnya ada sekotak mi segera yang dibalut kemas, tanpa diusik isinya, diletakkan di dalam almari perhiasan kerana ada wajah Mawi sebagai duta produk.

Dulu.......


Seorang kenalan membeli kesemua kaset ceramah ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Setiap kali ke tapak pasar malam atau tapak ceramah, dia akan membawa satu senarai tajuk ceramah agama ustaz tersebut yang telah dimilikinya. Jika terjumpa yang belum terdapat di dalam senarai, dia akan membeli. Dalam perjalanan pulang dia akan memasang kaset itu di dalam kereta dan menyambung atau mengulang pasang di rumah pula untuk didengari seisi keluarga. Tidak kira ceramah di Masjid Sultanah Bahiyah atau Kilang Lama, Kulim, atau mana-mana sahaja, dia mesti menyimpan satu salinan di rumahnya.

Lama kemudian, ketika seorang rakan menziarahinya, dia mengunjukkan dua bekas kampit beras yang dipenuhi kaset yang diletakkan di luar pintu.

"Nak balik nanti, hang bawa balikla. Letak tang mana-mana...."katanya kepada rakan yang tercengang.

"Apa 'tu?"

"Kaset Shamsuri!" katanya sambil menjuihkan bibir. "Aku tak mahu dengar dah. Dia tak sejalan dengan aku!"

Maka janganlah salahkan saya apabila menasihatkan seorang anak buah yang sedang taksub hingga menubuhkan sebuah kelab peminat untuk seseorang yang sedang sejalan dengannya.

Takdirnya satu hari mereka tidak sejalan, jenuhlah pula saya menerima cd berisi kuliah dan ucapan idola masakini anak buah itu......

Dalam hidup, demikianlah antara yang dapat kita perhatikan.

Maka, bersederhanalah dalam menyanjung atau membenci sesama insan.

Jalan itu masih panjang........ 



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 5 November 2012

Titik Hitam...



Salah seorang anak arwah AR Tompel mempunyai tanda hitam pada mukanya. Dia pernah muncul di tv dengan imej asal itu tetapi bagi yang baru mengenalnya sebulan dua ini tidak akan mempercayai itu. Wajah putera yang cuba menjadi pelawak seperti babanya kini tiada tanda tersebut.

Seorang penyanyi yang menjadi veteran kerana lama muncul dalam apa yang dikatakan sebagai industri ini, asalnya mempunyai tahi lalat di hidungnya. Dia yang kini berkebolehan mengajar orang menyanyi dan menjadi juri yang kritis untuk mencari penyanyi segera, tidak lagi punya tanda lahir itu. Peminat atau pengagum barunya mungkin tidak tahu akan hal tersebut.
Majalah GILA-GILA edisi pertama muncul pada 1 April 1978 dengan muka depannya adalah karikatur wajah AR Badol yang baru muncul dengan filem Si Badol. [Badol dan R Jaafar sedang meletup di pasaran sebagai pelawak setelah memenangi Bakat TV 1976 terbitan RTM].

Gila-Gila yang diasaskan oleh Meor Shariman Hassan [Mishar – abang kepada penyanyi Sohaimi Meor Hassan] bersama Jaafar Taib dan Azman Yusoff cukup cepat melonjak. Ia dikatakan mengikut format majalah hunor barat, MAD.

Ketika itu, pada hari raya Aidil Fitri, tidak sah jika bersama kuih-muih dan ketupat, tidak pula terhidang sama majalah tersebut edisi bumper di atas meja!

Beberapa majalah seumpamanya turut muncul. Paling hampir saingannya adalkah majalah Gelihati terbitan Kumpulan Karangkraf. Mishar pula meninggalkan Creative Enterprise, penerbit GG, sebagaimana dikenali peminatnya, lalu melancarkan sebuah lagi majalah yang tidak kurang hebatnya, Batu Api.

Kemasyhuran majalah itu member idea kepada penerbit untuk menghasilkan filem dengan jodol GILA-GILA. Biasalah, strategi perniagaan. Kalau David Teoh aktif pada masa itu, MIG pun pasti menerbitkan filem berjodol sedemikian……
Omar Rojik
Filem terbitan tahun 1979 itu diarahkan oleh Omar Rojik, menggandingkan R Jaafar dengan beberapa artis handalan. Dalam filem ini juga kita dapat melihat Udo Omar  yang lebih terkenal dengan watak Haji Bakhil, muncul dalam filem warna era baru, setelah timbul sekejap dalam filem warna-warni Hang Tuah arahan Phani Majumdar pada tahun 1960-an.

Di dalam filem inilah muncul heroin baru yang bertahi lalat di hidung.

Sekarang, pelakon yang sering membawa watak ibu  atau isteri ahli korporat itu, tidak lagi mempunyai tanda lahir tersebut.Telah lama titik hitam itu hilang dari wajahnya.

Titik.

Anehnya, sekarang salah satu cara untuk membuat orang ketawa, agaknyalah, ditempeklah seketul tahi lalat palsu di muka pelakon komedi. Makin besar tahi lalat itu, semakin kuatlah dekahan tawa penonton. Pun, agaknyalah!

Rupanya tahi lalat boleh dijadikan prop, sama dengan kacamata berbingkai besar untuk watak orang bodoh-bodoh alang atau yang tidak berapa cukup mentalnya…….

Terbaru lagi, seorang pelakon watak serius dalam drama serius dilihat ditempek dua biji tahi lalat.

Makin hebat idea pengarah demi meninggikan mutu drama kita!

Tahniah. 

Kalau boleh dicadangkan, tempelkanlah pula ketuat. Pasti akan semakin kuat dekahan tawa penonton, jika diletakkan pada wajah pak turut yang menyua muka untuk dipasang prop tersebut……Kalau drama serius, pasti bertambah simpati penonton kepada watak berketuat di mana-mana bahagian badan itu!

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails