Isnin, 17 September 2012

Kalau hidup macam dalam drama



Anda dapat bayangkan bosannya kalau hidup kita ini macam dalam drama televisyen.

Anda hanya melangsungkan kata-kata atau perbuatan klise orang sebelumnya. Anda dapat bayangkan anda dikelilingi oleh orang-orang yang berperwatakan stereotaip sama ada baik atau tidak.

Kalau anda sakit walaupun berguling-guling, anda tak bimbang kerana doktor akan mengulangi dialog klise yang sudah beratus kali diucapkan, "Sabarlah cik, cik tidak apa-apa. Kecederaan dia sikit saja,". Cuba kira berapa ratus kali dialog ini diucapkan dalam drama Melayu? Ini hasil penulis skrip atau penciplak skrip?

Kalau anda pergi melawat sanak saudara atau rakan taulan di wad kecemasan, anda juga tidak perlu cemas sangat sebab doktor pasti akan menenangkan anda Apabila doktor membuka pintu wad kecemasan, terkam dan bertanyakan keadaan pesakit. Doktor pasti kata, "Sabarlah cik, keadaannya stabil,".

Hidup dalam drama swasta juga mudah mendapat jodoh, misalnya berlanggar dalam pusat membeli-belah. Kalau pelajar pula mesti berlanggar di tangga universiti. Kemudian terus bertukar alamat. Hidup dalam drama, yang baik akan terus baik walau dalam apa keadaan sekalipun. Sementara yang jahat pula akhirnya akan menyesal. Moral ceritanya tak akan ada orang jahat.

Hidup macam dalam drama memang banyak rintangan. Tapi tidak perlu bimbang kerana yang "baik" selalunya akan memperoleh kejayaan dan kemurnian pada akhirnya. Ala...macam filem Ombak Rindu tu. Atau setidak-tidak yang membuat onar akan meminta maaf dan menyalahkan dirinya yang berkelakuan buruk.

Pada saat itu, yang baik (selalunya sebelum teruk dikerjakan oleh yang onar) akan memperlihatkan kemuliaan pekertinya. Dia tidak pemarah dan jauh sekali untuk berdendam.

Paling menarik setiap hari kita berada dalam premis sosial yang sama. Kalau di kampung, rencahnya mesti ada wanita yang suka mengumpat, samseng ala Shariff Dol Kampung Dusun dan warung tempat membuang masa.

Kalau anda di kelas elit, pasti berdepan dengan musuh dalam perniagaan yang menggunakan taktik kotor. Malah ada kalanya taktiknya tidak masuk akal. Tapi itu bukan persoalannya kerana yang penting mahu menunjukkan yang baik akan terus baik.

Komplot juga menjadi sebahagian daripada rencah hidup. Agenda untuk menjatuhkan antara satu dengan lain penting untuk menjadikan hidup penuh dengan drama. Pendek kata tidak ubah seperti kehidupan Mahsuri atau Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah.

Komplot ini bukan sahaja kalangan korporat yang bersarapan di restoran lima bintang. Ini juga boleh berlaku kepada mereka yang bersarapan di warung kopi di kampung pedalaman. Sambil minum kopi (lagak samseng dan angkuh) mereka merancang strategi untuk menjatuhkan musuh yang selalunya orang baik, giat dalam persatuan dan berbaik-baik dengan anak gadis yang cantik di kampung berkenaan.

Alasan yang membuatkan mereka sakit hati selalunya tidak kukuh. Tetapi kerana untuk meneruskan rencah hidup yang stereotaip, mereka pun berlagak jahat sekalipun tidak tahu kenapa mereka jadi jahat.

Apabila ayah anda memarahi anda, ibu akan menjadi orang tengah menenangkan keadaan. Kalau anda berada dalam kesusahan, ibu akan mengulangi dialog begini, "Sabarlah nak," sambil menunjukkan muka ala Neng Yatimah.

Memanglah hidup begitu hambar dan tidak mendebarkan. Ini kerana hampir semua langkah yang kita ambil sudah tahu penghujungnya. Tidak ada orang yang mampu mengubah nilai stereotaip ini kerana begitu aturannya dalam drama Melayu. Kalau kita mengimpikan hidup yang sempurna tontonlah banyak-banyak drama Melayu, termasuk juga filem Melayu.

Seorang kontraktor pula mesti kelek pelan ke tapak projek, pakai topi keselamatan dan tercangak-cangak macam cari lembu hilang melihat bangunan yang belum siap. Kemudian buka pelan seolah-olah dia tahu semuanya. Padahal kontraktor sebenar pun hairan apalah benda yang dibuat itu.

Bila balik ke pejabat, setiausaha dengan langkah dan aksi yang cukup klise akan menyerahkan fail kepada kita dan berkata, "Ini fail yang cik atau encik minta bla...bla...bla". Jangan lupa, kita juga akan menjalani satu aturan kehidupan yang penuh dengan kebetulan. Apabila kita teringat kepada kawan kita, dia akan muncul di depan mata dan kita kenalah tuturkan dialog, "Hah, itu pun dia datang." Takkan tak pernah dengar dialog warisan ini kot?

Tapi bila anda fikir balik, bosannya kalau hidup kita macam dalam drama Melayu. Bosan sangat-sangat kerana penuh dengan klise. Tak ada yang tak klise. Sebab itulah anda lama tak menonton drama Melayu. Anda rasa loya bila ada dialog atau perbuatan klise dalamnya. Wahai penulis skrip, apa yang ada dalam kepala otak awak hah?

Di atas adalah kolum Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia bertarikh 25 Mac 2012. Tidak apa yang diubah selain Siti ditukar kepada ANDA

Bacalah dengan matahati dan saya percaya anda akan mengangguk-angguk!

Seperti saya.......
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Senyum Manis Emak: Sebuah Isian Semula

Raja Ismail
Emak jarang menonton tv. Lebih-lebih lagilah rancangan hiburan/nyanyian.

Entah kenapa malam itu, satu malam minggu, emak boleh pula berada di depan tv hingga habis satu rancangan yang dihoskan oleh Raja Ismail bin Raja Saat, suami penyanyi lagu asli Aspalela Abdullah.
Raja Ismail yang merupakan adik kepada pelakon Raja Hamidah (isteri pelakon dan pengarah Salleh Ghani) pernah popular sebagai Kutuk, mengambil sempena nama wataknya sebagai pelakon utama drama Si Kutuk yang disiarkan di TV Malaysia -- baca RTM(masa itu TV3 masih tak terjangkau dalam fikiran rakyat Malaysia). Seorang lagi iparnya yang bergiat di bidang lakonan ialah arwah Hj Arshad
Anak saudaranya yang terkenal adalah Adam Salleh, wartawan hiburan yang kini berjawatan Pengarang Rencana di  Metro Ahad. Seorang lagi adalah Zulkiflee Salleh, seorang penata bunyi filem yang disegani yang dulunya sering bergandingan dengan mendiang Peter Lim, bekas Penerbit Koordinator Audio TV3
Raja Hamidah
[Raja Ismail telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2000. Salleh Ghani meninggal dunia pada 28 Ogos 1986. Manakala Raja Hamidah baru saja meninggal pada 12 September 2012 lalu. Berita kematian Raja Hamidah, terus membawa saya mengingati arwah adiknya Raja Ismail, sekali gus membawa pula satu kenangan terhadap emak. Maka muncullah edisi isian semula ini.....].
Bagi yang tak kenal lagi, Raja Ismail adalah pemegang watak kecil, kaki judi yang kalah teruk ketika berjudi di kelab beca dalam filem Keluarga 69. Ingat bagaimana marahnya watak itu ketika Osman Bakar (lakonan P Ramlee) dua kali tersilap menyebut angka selepas menggoncang macam buah dadu dalam balang. 66 dikata 99, 69 dikatanya 96, hingga terpaksa tauke kelab memberi isyarat, dan akhirnya mencetuskan pergaduhan. Di dalam filem itu, Salleh Ghani adalah pemegang watak penarik beca, penyewa rumah Encik Bakar yang kemudiannya menjadi pengurus kepada penyanyi Osman Bakar. IMasih diingat dialognya tatkala Osman tidak mengambil sewa rumahnya kerana kasihan: Kalau ada sepuluh orang seperti ini di Malaysia............sepuluh-sepuluh bankrap!
Raja Ismail kemudiannya menjadi pengarah kepada beberapa filem seperti Sikit Punya Gila, Aku Yang Berhormat dan Ragam Pemandu.
  
TV Malaysia selalunya menyiarkan rancangan berbentuk hiburan pada malam Ahad. Hiburan Malam Minggu (HMM) dan Hiburan Minggu Ini(HMI) antara slot yang diingati. Selalunya seorang penyanyi menjadi hos. Yang agak popular pernah mengendalikan hingga 13 minggu. Antaranya Dhalan Zainuddin dan (Datuk) D J Dave
Dalam rancangan itu dijemput beberapa penyanyi dari kaum lain (kira a la 1Malaysia) dan tidak ketinggalan beberapa pelawak, juga 1Malaysia. Penyanyi misalnya Albert Phang, Andre Goh, Mary Sia Ling Ling, V Sarangavani (serta adiknya V Jayanti), Roxana Islam dan Chandra Rakesh. 
Pelawak pula antaranya Lim Goh Poh, A R Ayappan, V I Stanley, P Paramasivam (Param), Tan Ting selain (Dato) Yahya Sulong, A R Badul, R Jaafar, Yusni Jaafar, A K Jailani dan Rohani Kassim. Turut serta adalah kumpulan penari latar yang dinamakan mengikut koreografernya seperti Normadiah, Farah Sulaiman dan Fauzi Abdullah.
Jadi, malam di mana Raja Ismail menjadi hos, saya menonton bersama emak.Tak pasti siapa artis undangan atau lagu apa yang didendangkan. Namun paling saya ingat, di hujung rancangan, berbaju melayu, bersongkok dan sambil menutup sebahagian mukanya dengan kain samping yang mulanya diselepangkan, Raja Ismail menyebut (lebih kurang) Secantik-cantik wanita, kentutnya berbau busuk juga!. Rancangan tamat. 
Saya berpaling ke arah emak kerana terdengar gelak kecilnya dan saya nampak senyum manis yang berbekas hingga kini....

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Khamis, 13 September 2012

Teman Pengganti: Intro Yang Pernah Kukenal...

Saya penggemar lagu.

Tiada penyanyi pilihan. Asalkan liriknya berkesan, apa lagi yang puitis, penyanyi yang tiada hidung pun saya dengar nyanyiannya. Saya bukanlah spesies menggunting gambar artis lalu tampalkan pada kulit buku, dinding bilik atau kini di muka komputer.

Kerana usia sudah berada di tahap pingat emas, banyak juga lagu yang tersimpan dalam memori. Kebanyakannya melekat keseluruhan lirik hingga hari ini. Apalah daya untuk membuangnya walaupun ada lirik yang cukup saya tidak gemar.

Kebanyakan lagu melayu dari era 50-an pernah saya dengar sekurang-kurangnya sekali. Sebahagiannya, terutama dari era 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an dengan mendengar intro muziknya saya dapat meneka nama lagunya, terkadang beserta penyanyi [yang asal atau yang merakam semula]. Paling tidak, dengan memetik jari dan mendongak, saya dapat mencari maklumat tentang lagu itu. Insya Allah.

Tetapi kemahiran itu tersekat untuk lagu-lagu selepas memasuki milennium baru dulu. Irama dan liriknya mungkin tidak sesuai dengan jiwa saya. Namun, perkembangan secara sepintas lalu lagu dan penyanyinya saya ikuti juga tatkala membelek akhbar atau menonton tv. Walau sekadar mengerling, saya diberi Allah keupayaan mengingat lama. 

Misalnya, seorang pelakon dan penyanyi wanita yang tidaklah berapa meletup kerja seninya pernah ditanya apa keistimewaan pada seorang penyanyi duda yang ketika itu dikaitkan dengannya. "Ada syurga di wajahnya!!" Jawabnya yakin, merujuk sebuah lagu top sang kekasih. Kini mereka tidak lagi bersama, tidak tahulah kalau-kalau pada wajah itu telah muncul neraka pula....Saya sebutkan hal itu kepada seorang rakan yang turut sama menonton dan mendengar ucapan tersebut. Malangnya dia tidak diberi keupayaan untuk mengingatnya.....

Saya bukanlah peminat tegar Noorkumalasari.

Tetapi saya masih mengingati dia muncul dengan penuh perasaan dalam sebuah rancangan terbitan RTM, lama dulu. Terlalu lama. Semasa itu kumpulan Black Dog Bone[BDB] baru saja mengeluarkan album berjudul Diskorama. Duo adik beradik bergelar The Queens - Farah Diba dan Yasmin- sedang popular. Kedua-dua grup dari Singapura itu turut diundang dalam rancangan tersebut. BDB menyampaikan lagu medley Anekaragam [yang pernah dipopularkan oleh Tan Sri P Ramlee] dan Kisah-kisah Lama (Kenangan BDB) manakala The Queens menyanyikan Tak Mengapa [rakam semula lagu Dato' A Rahman Hassan/Orkes Nirwana] dan lagu Bersabarlah Kalau Bercinta. 

Noor pula menyanyikan dua lagu juga. Salah satunya disampaikan sambil mengalirkan airmata. Saya terlupa tajuknya tapi ingat  lirik serta derasnya aliran air di pipi Noor!

tak kusangka 
kiranya engkau 
telah lama menjalin pertunangan    
dengan dia 
gadis itu 
tapi engkau rahsiakan dariku
izinkanlah aku 
mengundur diri
bersama luka yang remuk di hati 
semoga bahagia hidupmu sayang
diriku usah dikenang

Sejak itu saya mengagumi penghayatannya. Kebanyakan penyanyi,walaupun lirik lagu cukup sayu menghiris, tetapi masih boleh terkerising tekernyih ketika mengalunkannya!

Maka, sebahagain lagu Noor kemudiannya tersimpan dalam memori.

Satu di antaranya adalah Hati Seorang Kekasih Lama, ciptaan Hj Mahzan Manan [yang turut menghasilkan beberapa lagu lain untu Noor].

Satu malam, baru-baru ini dari corong radio saya mendengar nada muzik lagu itu. Sedang mencari tajuk lagu itu dan menyangka ia sebuah gubahan semula, muncul suara penyanyi lain dan lagu pun lain!

Saya tidak merujuk kepada sesiapa - mungkinkah ada artikel menceritakan lagu itu adalah kolaborasi Hj Mahzan dengan pencipta lain?

Saya mencari lagu baru itu di Youtube dan mendengar muzik intronya berkali-kali.

Sah.

Permulaannya adalah ciptaan asal Hj Mahzan. Malah di dalam salah satu laman yang memaparkan lagu nyanyian Noor itu,  seseorang menulis begini :

teman pengganti - malique feat black =)



Tolonglah.

Tidakkah ini termasuk dalam kategori ciplak?

Maaf, jika ada yang saya ketinggalan .......

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Rabu, 12 September 2012

Weak Point.....

[i]

Semasa saya kecil dahulu, awal 70-an, kampung kami secara berkala didatangi sekumpulan pekerja Jabatan Kesihatan, menyembur ubat pembasmi nyamuk, DDT, kalau tidak silap. Biasanya selepas disembur, habis dinding rumah papan nampak seakan berkulat, berwarna putih. Baunya pula satu hal lain. Lama juga masa diambil untuk kesan itu benar-benar hilang.

Satu hari, selepas menyembur di rumah ayah, mereka berehat di bawah bangunan sekolah AlFalah yang kosong,  kemudiannya menjadi bangunan asrama puteri.pada tahun 1984... Saya yang datang melangut di situ - lebih kerana meminati nasi bungkus yang mereka makan - mendengar perbualan mereka.
Salah seorang, yang berdasarkan perbualan mereka, adalah penyanyi kepada kugiran 'Midnite/Mid-night Sun' Alor Setar rancak bercerita. Ketika ditanya rakan akan kenangan sebagai penyanyi, dia bercerita: satu waktu ketika menyanyikan lagu Tarikan Nafasku Yang Terakhir nyanyian asal Tetty Kadi [Indonesia], dia nampak ada seorang makcik mengalirkan airmata. 

Atas permintaan rakan-rakan, dinyanyikannya bait awal lagu tersebut, sebelum menyalakan sebatang rokok lalu menyedut dalam-dalam.

Saya ternganga.

Pertama, hairan kerana ketika menterjemah sendiri, nama band itu bermaksud Matahari Tengah Malam - sebelum lama kemudian saya terbaca ada kumpulan bernama 'Sweet Salt' {Garam Manis} dari Singapura, di mana salah seorang penyanyinya adalah Datin Rina Rahman yang kemudian lagi terkenal dengan lagu dari album solo Ku Ingin Bahagia......

Kedua, juga hairan, bolehkah dengan mendengar lagu sahaja, orang akan menangis? Kenapa begitu?

Kerana bukan zamannya rumah kami mempunyai pemain kaset atau piring hitam, lama juga saya terpaksa menunggu radio memutarkan lagu yang kononnya boleh membuatkan air mata seorang makcik itu berlinang. Setelah dua tiga kali mendengarnya, dapatlah saya ingat akan melodi dan liriknya.

TARIKAN NAFASKU YANG TERAKHIR

Kini saat yang terakhir
Ku pinta maaf kepadamu

Jauh dari lubuk hatiku

Tak pernah ku dendam padamu


Bila engkau tak percaya

Ku rela korban jiwa raga

Kini saat yang penghabisan

Ku harap kau datang kepadaku


Berulang kali ku nyatakan

Aku sayang padamu

Berulang kali ku meminta

Peluklah belailah daku


Oh itu tak pernah terjadi

Semua harapan belaka

Nafasku yang terakhir ini

Hanyalah ku tujukan padamu


Saya sering melagukannya, perlahan. Tiada terasa apa-apa.  Sekali, pada satu petang, ketika hanya berdua dengan kerbau ayah yang saya temani meragut rumput di batas bendang, agak jauh dari kampung, saya menyanyikannya sekuat hati. Juga tidak terasa apa-apa.Tiada air dari mata, cuma dari mulut......menyembur-nyembur!

Satu hari, ketika radio memutarkan lagu itu, sebaik mendengar muzik intronya, saya menguatkan suara radio. Kebetulan MakNdak yang berada di situ. Tapi saya lihat MakNdak biasa sahaja - tiada pun linangan airmata.

Bagaimana makcik itu, yang penyanyi band Midnite Sun ceritakan, boleh pula menangis? Soalan itu tersimpan sendiri.

Satu hari, radio, teman setia satu-satunya,  memainkan lagu Malam Ini Kita Berpisah nyanyian Habibah Yaakob - lama kemudian barulah saya tahu lagu berkenaan terdapat dalam filem Enam Jahanam lakonan P Ramlee dan Nor Azizah, kerana ketika itu saya belum pernah menonton filem tersebut. Maklumlah ketika itu peti tv masih jauh jaraknya dari keupayaan kebanyakan keluarga di kampung.... Kalaupun mahu menonton, terpaksa kami menapak ke tengah-tengah Kampung Permatang Ibus, di rumah seorang 'ada-ada'. Di situ, kami terpaksa memasukkan pula sekupang ke dalam tin Milo yang siap ditebuk sepanjang dua inci tudungnya, dipegang oleh anak tuan rumah di muka pintu, dengan mukanya sendiri keras seperti pintu.......
 
 MALAM INI KITA BERPISAH

Malam ini kita berpisah
Rasa hati resah gelisah
Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat Jalan

Mengapa kita berjumpa
Bercinta dan putus pula
Mengapa kita berjumpa

Bercinta dan putus pula
Kalau dah nasib
Apa nak dikata

Pulanglah kanda wahai pujaan                                          
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan

Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Hatiku sudah berdarah
Asmara hancur dan musnah
Kalau dah nasib
Apa nak dikata

Pulanglah kanda wahai pujaan
Tinggallah dinda keseorangan
Selamat jalan...

Dua kali Habibah Yaakob menarik kalau dah nasib......... apa nak dikata , dua-dua kali itu MakNdak mengeluh, separuh berbisik, "Hai...Tak taulah Bibah oiiii...." 

Lama. Terlalu lama kemudian, baru saya faham: Lain orang, lain pula lagu yang memberi kesan dalam hati.....


[ii]

Setiap tahun, kebanyakan sekolah mengadakan kem motivasi. Bagi yang inginkan kelainan dan mempunyai dana yang cukup pula, kem  luar akan dipilih. Di Kedah, antara kawasan yang popular adalah sekitar Pekan Yan kerana mempunyai beberapa kem yang sesuai. Kalau tidak, kem motivasi dalaman tetap ada dengan memanggil pengendali/motivator dari luar.

Di dalam pengisiannya, selain dari motivasi tentang pelajaran akademik, selalunya mesti ada bab muhasabah diri, lebih kuranglah. 

Saya banyak kali berkesempatan menyaksikan bagaimana acara ini berlangsung. Biasanya skrip yang serupa dengan tokok-tambah di sana sini.

Ini salah satu sesi dan kes yang saya pernah 'ada':

Lampu dewan dan sekitarnya dipadamkan. Suasana sepi. Di skrin [bersumberkan kandungan Youtube yang melambak],  ditayangkan  rengekan anak yang baru lahir. Ditunjukkan keperitan ibu ketika melahirkan, kemudiannya dibesarkan oleh ayah ibu, menjadi remaja dan seterusnya dewasa. Diselitkan lagu-lagu yang mendayu-dayu tetapi relevan. Berlinang mata sebahagian anak-anak yang melihat itu. Kemudian, pengendali dengan suara bergetar akan meminta semua yang ada memejamkan mata, di dalam kegelapan dewan itu. Mereka disuruh membayangkan, bagaimana ketika pulang esoknya didapati emak dan ayah baru meninggal. Apa lagi, yang baru basah pipi tadi terus meraung....Ada yang terjerit hendak pulang! Ada yang tanpa silu, bersulam tangis meminta ampun...Lama sedikit dibiarkan mereka melayan perasaan. Kemudian diselitkan nasihat yang berkaitan hingga akhirnya masing-masing berjanji, mengikut lafaz yang diketuai oleh pengendali, untuk menjadi anak yang baik dan soleh....

Lampu dinyalakan semula sedang yang teresak-esak mengelap pipi. Insaf sungguh!

Namun, guru-guru yang mengawasi pelajar dapat mengesan bahawa ada seorang  pelajar mereka tidak menangis pun, malah mengukir senyuman kepada teman di sebelah yang sampai mengalir air hidung! Pelbagai andaian dibuat: dia tidak faham, dia tidak peka, dia tiada perasaan, dan seumpamanya.

Di sekolah perkara tersebut dibincangkan sekali lalu. Kemudian tenggelam.

Satu hari, budak yang tidak menangis pada malam muhasabah itu, meraung sekuat hati. Berlari ke bilik guru untuk mengadu: gambar kucing kesayangannya yang dilekatkan pada bahagian dalam kulit buku nota dikoyak oleh rakan sekelas! Puas pula guru kaunseling mencari frasa ayat terbaik untuk menenangkan pelajar itu. 

Demikianlah.

[iii]
 
Pertengahan tahun70-an.

Dalam sekitar dua puluh rumah, bermula dari rumah ayah saya di kampung, hanya rumah Pakcik Yusof Hj Osman - nama sebenarnya Hassan - ada peti tv. Di situlah kami menonton hampir setiap malam.Di situlah saban minggu kami menanti drama peperangan Combat!, konsert orkestra James Last, drama penyiasatan komedi Misadventues of Sheriff Lobo, drama kepolisan trafik CHiPS lakonan Eric Estrada serta drama koboi The High Chapparal lakonan Leif Erickson dan Cameron Mitchell, rancangan gusti dan sebagainya.

                

Pada masa itu, drama melayu hanya seminggu sekali dalam slot Drama Minggu Ini. Tayangan gambar melayu juga seminggu sekali - Jumaat malam Sabtu. Selalunya jika ada tayangan gambar melayu, penuh ruang depan rumah kayu itu diisi penonton. Lelaki dan wanita dipisahkan oleh satu pemidang anyaman buluh.


Satu malam, RTM menayangkan filem Sesudah Suboh lakonan P Ramlee dan  Vera Wee. Semua khusyuk menonton, sesekali terdengar perlahan kutukan terhadap anak, lakonan arwah Bob Mustaffa yang biadap terhadap bapanya [P Ramlee]. Pada penghujung filem, bapa yang tidak pernah menjentik pun anak-anaknya, telah menampar sekali pipi si anak lelaki yang bermulut lancang. Semua penonton tersentak. Ketika si bapa berdialog mencungkil betapa kasihnya kepada anak-anak dan isteri, bekas perempuan kabaret, semua penonton kian asyik. Saya yang berada paling depan secara sengaja berbunyi seolah teresak-esak dua tiga kali dengan jelas. Maka kedengaranlah esakan yang kuat dari beberapa penonton di bahagian wanita...... Saya terkejut. Rupanya mereka menahan ledakan itu.....

[iv]

Saya terbaca sebuah cerpen tulisan arwah S Othman Kelantan. Terlupa akan jodolnya, pernah mendapat Hadiah Sastera Negara rasanya. Ia berkisah tentang seorang yang boleh dikategorikan samseng kampung yang di hatinya tidak pernah ada simpati kepada sesiapa. Semua orang takut kepadanya. Suatu hari, dengan mata sendiri, dia melihat seksa isterinya mahu melahirkan anak. Tidak sampai hati, apalagi si isteri pula kehilangan darah, tanpa memeriksa jenis darah, dia menghulur tangannya kepada doktor. "Hiris saja!" katanya. Keras suara itu tetapi hatinya basah....

[v]

Lama dulu, saya pernah menonton sebuah drama tv. Skrip oleh Jaafar Khan, nama samaran Dato Johan Jaafar, orang kuat Kumpulan Media Prima Berhad kini, dulunya Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Kalau tidak salah ingatan, tajuknya Asy-syura dan lakonan Karim Latiff terkesan hingga hari ini. Baru kematian isteri, wataknya seorang bekas pelajar pondok yang mengabaikan ilmu agama yang pernah dipelajari - menjadi seorang kampung bersikap baran dan penjudi. Kadang-kala sampai ke pagi dia berjudi. Satu hari, menjelang subuh dia mendengar seorang anak gadis [lakonan dramatis airmata Faezah Noor], membaca Al Quran, surah AsySyura. Hatinya tersentuh tatkala menterjemah perlahan-lahan ayat-ayat yang didengarnya itu......Dia kemudian mengahwini gadis tersebut. Banyak proses dilalui untuk dia menjadi baik dan insaf. Paling diingati betapa si isteri meratap di atas kubur seorang ahli keluarganya, meluahkan lara hati ......

Perkara yang hampir serupa ditemui dalam sebuah filem seberang lakonan Wahab Abdi. Lupa pula tajuknya. Kisah seorang bekas pelajar pesantren yang menjadi penjahat yang pemabuk namun berubah kerana sesuatu yang cukup menyentuh hatinya......

[vi]

Leman [memang nama sebenar], seorang yang cukup terkenal di pekan Kuala Simpang [bukan nama sebenar]. Hobinya: tunggu dan lihat. Maka tidak hairanlah jika setiap hari - pagi atau petang atau kedua-duanya sekali - Leman akan duduk di satu kerusi khas pada sebuah meja khas juga, di sisi sebuah kedai kopi. Di atas meja itu diguris kekal oleh seseorang yang berjiwa seni, sebuah tapak permainan dam. Selalunya grup yang sama hobi dengan Leman akan duduk mengelilingi meja itu. Dua orang akan berperanan sebagai pemain, manakala yang lainnya menjadi penonton merangkap jurulatih dan sesekali menjadi batu api! Sambil itu mereka akan menoleh setiap kali ada bayang orang melintas di hadapan kedai kopi, terutama yang sejenis dengan isteri mereka.

Di situlah Leman: menunggu kawan belanja kopi atau kuih atau nasi lemak atau kesemua sekali. Menunggu kawan membawa kertas keputusan nombor ekor yang difotostat, melihat kalau-kalau ada yang sangkut, mengesali kerana lari satu dua digit, mengomen serta menganalisis nombor yang akan naik pada sesi berikutnya....


Tidak kira apa juga keadaan cuaca, di situlah Leman. Kalau tiada kawan, dia menjadikan akhbar di kedai kopi sebagai teman. Kalau ada kawan, dia mempunyai banyak pilihan: berbual kosong atau mengulas isi berita akhbar atau bermain dam atau diam dan melihat orang - terutama dari jenis isteri - lalu-lalang di situ.


Pendeknya, tiada hari tanpa Leman di situ.....



Leman sudah beristeri. Isteri sulungnya bekerja di sebuah kilang menghasilkan makanan rencam di sebuah kawasan perindustrian ringan, 3km dari Kuala Simpang. Isteri tengah pula bertugas di sebuah stesyen minyak di dalam pekan. Isteri alang? Belum ada tetapi calon idamannya sudah ada - ibu tunggal beranak tunggal yang menjadi agen tunggal tauke judi ekor, yang mendapat sebuah lagi meja khas di sudut tersorok di kedai kopi itu...


Leman mempunyai tujuh anak perempuan - semuanya hasil perkahwinan dengan isteri tengah.

Pekerjaan Leman? Sesungguhnya hanya Leman dan Allah dan Leman yang tahu........kerana tiada siapa pernah menjumpai Leman di tempat lain!

Satu hari, seluruh pelanggan di kedai kopi itu terkejut. Tauke kedai kopi apatah lagi.

Leman menepuk meja sekuat hati hingga terpelanting dua tiga haji di atas papan dam yang sedang menyaksikan pertarungan antara dua sahabat karib Leman.

Leman melompat ke atas motornya dan berlalu pergi selepas berkata sesuatu dan meludah  ke arah kedai kopi.



Besoknya Leman tidak muncul di situ. Ramai menyangka dia tidak mahu lagi duduk-duduk di kedai kopi, sebelum salah seorang rakannya nampak kelibat Leman di sebuah kedai kopi lain, jauh di seberang jalan, sedang membelek kertas keputusan nombor ekor.


Lama kemudian, barulah rakan-rakan dan tauke kedai tahu akan punca keadaan hari itu.


Dr Hatta Azad Khan
Malam sebelum itu, di tv [RTM] tersiar sitkom Kampung Seri Wangi [asalnya dari skrip drama pentas berjodol Syhhhh.... karya Hatta Azad Khan, yang kemudiannya bertukar jodol menjadi Pi Mai Pi Mai Tang Tu di TV3]. Ketika itu setnya masih sebuah warung berhampiran tapak loji pembuangan najis. Dalam satu babak, seorang tua meminta kepada Mydeen [lakonan arwah Sabtu Hussain], roti canai jantan. Teragak-agaklah mamak warung untuk mengatakan 'wokey', seperti selalu, sebelum diterangkan maksudnya adalah roti canai telur.......
Maka pagi itu, ketika ada seorang rakan karib semeja mengajaknya bersarapan kali ketiga, kali ini dengan roti canai, Leman tidak menolak, terus melaung meminta dua biji. Mamak roti canai, yang sejak awal pagi, beberapa kali mendengar permintaan pelanggan, mengikut dialog dalam sitcom tersebut, cuba berjenaka: "Leman, mau roti betina ka roti jantan?"


Rakan yang mengajak Leman tadi tertawa berdekah-dekah, secara bergurau juga berkata: "Betinala mamak. Dia mana ada anak jantan ......."


Leman menepuk meja sekuat hati hingga terpelanting dua tiga haji di atas papan dam yang sedang menyaksikan pertarungan antara dua sahabat karib Leman.

Leman melompat ke atas motornya dan berlalu pergi selepas berkata sesuatu dan meludah  ke arah kedai kopi.


                                                                        *************

Banyak keadaan dan hal seperti di atas pernah kita dengar, baca malah alami!

Ada sesuatu hal yang kelihatan kecil tetapi boleh menyentuh. Apa lagilah yang boleh mencungkil kenangan.....

Kenangan....

Yang selalu membuatkan kita terkesan adalah lagu-lagu yang pernah didengar semasa itu apatah yang liriknya selari dengan keadaan. Ada juga membabitkan gambar, buku, tempat dan lainnya. Namun lagu,yang mudah mencuit rasa, kerana kadangkala kita terdengarnya di kedai, rumah atau di kereta. Maka.....

Seorang rakan pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang akan hiba apabila mendengar  lagu Di Hari Persandinganmu nyanyian arwah Abang Mokhtar dari kumpulan The Goodman Brothers!

Saya sendiri mempunyai sedozen lagu yang membuatkan hati basah - terkenang rakan, keluarga, arwah isteri atau buah yang pernah singgah ke hati suatu waktu dulu!

Ada pula, dengan mengunjungi taman tempat pertemuan dahulu, cukup untuk membuatkan seseorang pilu mengenangkan kasih yang tidak kesampaian!

Demikianlah. 

Setiap kita mempunyai titik lemah......

PN dulu
Saya catatkan ini sebagai dedikasi kepada rakan fb, Pawang Nujum[PN], yang bergembira kerana setelah mengirim lagu Terpisah Akhirnya nyanyian asal A Ramlie, saya balas dengan meminta jangan mainkannya di depan saya. Dia seronok, kononnya telah menjumpai salah satu weak point saya.......Agaknya sampai terlompat-lompat kerana berkali-kali dia menulis: yes, yes! 

Saya membayangkan dia meraikannnya sehebat Lin Dan melompat setelah mendapat mata kemenangan dalam pertarungan sengit dengan Dato' Lee Chong Wei di Sukan Olimpik lalu.....

Saya tidak langsung pernah sehiba Chong Wei, ketika mendengar lagu kiriman itu. Saya cuma berkongsi rasa dengan mereka yang lara seperti tergambar dalam liriknya. Ramai yang saya kenal pernah melalui detik sukar itu sebelum kemudiannya kembali berpijak ke bumi nyata, menghayati Rukun Iman.... Saya terkenang mereka ......

Tetapi cara Pawang Nujum meraikan itu membuatkan saya geram hingga kini......hehehehe.

Tak pa. Tak pa.....hehehehehe..


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails