Anda bersendirian. Tiba-tiba bahu ditepuk. Anda menoleh. Seorang rakan bersama seseorang. Selepas berbasa-basi sedikit, dia perkenalkan si dia sebagai bakal teman hidupnya. Anda angguk. Menyapa dengan beberapa perkataan biasa bab 'pengenalan' diadun dengan secubit senyuman. Mata sekilas memerhati atas bawah.
Mereka berlalu. Anda sendiri semula.
Tak payah ulas tentang 'keserasian' mereka. Tapi, sejujurnya, berkenankah anda dengan pilihan rakan tadi?
Not my taste.
Lalu anda bandingkannya dengan pilihan anda sendiri, si dia yang anda panggil 'sayang'. Huh!Tentulah amat berbeza. Alasan anda? Apa-apalah!
Maha suci Allah yang mencipta kerencaman fikiran pada manusia. Mungkin rakan anda tadi akan melihat kekurangan 'sayang' anda jika mereka bertemu. Dengan alasan-alasannya pula!
Demikian saya cuba membuka 'subjektif'.
Pandangan , tafsiran dan penilaian kita tak sama seluruhnya. Baju yang anda pakai bagi saya tak cantik langsung coraknya, sedangkan anda sudah tak mampu melangkah sebaik melihatnya pertama kali tergantung di kedai bundle! Bedak talkum yang saya sekeluarga gunakan, bagi anda hanya sesuai untuk melicinkan perjalanan buah carrom! Demikianlah seterusnya.
Kita kena terima kerencaman.
Dikatakan seseorang mengusik Qais, sang majnun," Cantik sangatkah si Laila? Bagiku, dia seperti gadis biasa lainnya....."
Jawab Qais," Kalaulah engkau melihat Laila dengan menggunakan mataku.....!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan