Saya terharu dan bersetuju sekali dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pembangunan Insan kepada Datuk Misbun Sidek oleh Universiti Tun Hussein Onn.
Selayaknya.
Beliau yang pertama di bidang sukan menerima pengiktirafan setinggi itu. Sebelum ini, arwah ayahnya, Dato' Haji Sidek Abdullah Kamar pernah menerima pengiktirafan Ijazah Kehormat Masters daripada Universiti Putra Malaysia.
Dari bidang seni hiburan telah ada penerimanya, termasuklah Dato Dr Ahmad Nawab dan arwah Dr Hamzah Dolmat.
Sebaik maklum tentang penganugerahan itu, saya segera terbang ke masa silam. Betapa dalam jerihnya, Misbun membina nama dan maruah negara dalam dunia bulutangkis. Dipandang pelik oleh rakyat negara sendiri, dengan kesungguhannya berlatih tanpa mengira waktu, dicemuh malah, dia bangkit menumbangkan hampir semua jaguh terbilang di zamannya.
Tidak hanya corak dan cara mengekalkan stamina yang luar dari kebiasaan - terutama berjogging di tengah rembang , terik mentari - Misbun juga mencipta kelainnan dalam gaya penampilan. Generasi saya akan sentiasa mengingatnya dengan stail rambut Mohican. Ada ketika lain, tatkala rambut blonde masih agak asing di kalangan anak muda, beliau muncul di gelanggang dengan satu jalur perang sebesar tiga jari di tengah kepala yang berambut hitam. Ada seorang pemain Denmark, yang berambut perang asli, ketika bertemunya di gelanggang, sengaja melekatkan kain hitam selepar tiga jari juga di tengah kepalaya, dari hujung dahi hingga ke belakang tengkok!
Demikianlah.
Dalam bergaya, dengan ramai yang menjuih bibir, beliau tidak pun melatah di dalam gelanggang... Kejohanan di sirkit dunia ditakluki, dan kemunculannya sentiasa dinanti.
Saya masih ingat satu perlawanan di Stadium Negara. Perlawanan akhir Piala Dunia ALBA. Lawannya adalah Lim Swee King dari Indonesia. Perlawanan tiga set, dengan set kedua dimenangi Misbun secara agak mudah. Penonton bersorak girang melihat kebangkitan setelah tewas set pertama. Menjelang waktu rehat menanti set penentuan, seorang penyokong masuk ke gelanggang, memukul lehernya. Entah dari mana datangnya peminat atau pemusnah itu.... Misbun akhirnya tewas mudah kepada Swee King....
Itu hanya yang saya kenang spontan tatkala berita tentangnya muncul pagi Sabtu lalu.
Terlalu banyak sumbangan Misbun baik sebagai pemain atau jurulatih. Bertanyalah kepada Dato' Lee Chong Wei tentang jasanya kepada pemain berkedudukan tertinggi di carta dunia itu...
Catatan ini terlalu pendek berbanding cerita sebenar yang panjang tentang sumbangan Misbun.
Tetapi tidak mengapalah.
Saya mencatat ini sebagai tanda penghargaan ke atas Misbun dari seorang peminat sukan, yang sentiasa memerhati....
Selayaknya dia diiktiraf, ketika tenaganya masih boleh digunakan bagi mengukuhkan sukan badminton negara di mata dunia. Kita tidak jarang hanya menghargai orang setelah insan itu tidak berdaya, tidak bermaya malah tidak bernyawa! Lalu, urutannya, keluarlah ungkapan klise: Kita kehilangan sebutir bintang.....
Tahniah, Datuk Dr Misbun bin Dato' Sidek.
Anda pejuang. Anda legenda yang masih hidup.
Kini Malaysia mempunyai seorang lagi Dr M - yang terkenal....