Sabtu, 17 November 2012

Rahim Razali, Kenapa Dibegitukan?



Sukan SEA 1977. Dari 19 hingga 26 Disember. Stadium Medeka, Kuala Lumpur.


Inilah kali pertama sukan serantau itu meluas ke seluruh Asia Tenggara [South East Asia]. Sebelumnya ia dikenali sebagai Sukan SEAP - South East Asia Peninsular.

Di sinilah beberapa hal terus melekat di minda. Penjaga gol pasukan bolasepak Filifina, sebuah negara yang begitu asing dalam sukan itu, mengenakan jersi berangka '0'....Malaysia menewaskan pasukan itu sebelas gol tanpa balas....Kemudiannya Malaysia memenangi pingat emas buat kali pertama dalam ibu segala acara itu....Penguasaan Malaysia dalam badminton berakhir dengan kemunculan pertama Indonesia....Pertarungan klasik Khoo Chong Beng dan V Subramaniam bersama atlet Burma dalam acara jalan kaki......Marina Chin [kini Dato' - Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil] menjadi idola gadis seluruh negara dan posternya berada di bilik ribuan pemuda....

RTM menyiarkan liputan menyeluruh. Ramai terlibat dalam memancarkan siaran langsung atau sedutan acara, tentunya. Namun, seorang saja menjadi perantara di studio selama lapan hari itu - siang dan malam. Beliau mengulas, menemubual tetamu, menghubungkan antara gelanggang. Pada acara penutup - untuk berjumpa pula Sukan SEA Jakarta 1979 - beliau hampir kehilangan suara. Tan Sri Ghazali Shafie [arwah], orang kuat temasya, yang amat berpuas hati dengan pencapaian atlet negara serta kelancaran kejohanan, dalam temubual di studio, berkata: tinggal satu pingat yang belum diserahkan, iaitu untuk Rahim Razali - perantara tersebut! (Beberapa hari kemudian saya terbaca betapa anak beliau bagai mengawal tetamu dari berjumpa si bapa yang keletihan......)


Sejak itu saya mengagumi insan serba boleh ini. Lama sebelum itu saya hanya terbaca tentang bakatnya dalam teater bersama Ahmad Yatim dan lainnya. Tetapi penampilan dalam mengendalikan siaran tv sepanjang seminggu itu seperti mendekatkannya dengan hati saya.

Beliau kemudian muncul dalam drama Dayang Suhana [1978] - bergandingan dengan Rubiah Suparman, meninggalkan kesan makin dalam di hati.

Pada tahun 1981, beliau mengarahkan dan berlakon dalam filem ABANG, yang bagi saya cukup lain dari jalur filem arahan bekas penghuni Jalan Ampas, Singapura. Dialog yang menarik, bernas - malah dihafal oleh penonton yang berulang ke pawagam - jalan cerita hebat serta dibantu penghayatan pelakon seperti Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Serigar, Noor Kumalasari, Tamam Idris, Fauziah Ahmad Daud dan lainnya, seakan mencipta fenomena baru. Dia semakin saya hormati.

Lelaki bergelar Dato' kemudiannya ini muncul dengan beberapa buah filem lagi. Sesekali terbaca berita beliau mendeklamasikan sajak. Muncul dalam teater. Dan akhir-akhir ini, melepasi usia 70-an, sering pula diberi peranan dalam drama tv.

Lulusan Universiti Melbourne dalam jurusan Chartered Accountancy ini telah memenangi beberapa anugerah pengarah, penulis skrip, lakonlayar, pelakon pembantu dan pelakon terbaik dalam beberapa Festival Filem Malaysia - kepelbagaian cabang yang belum lagi dijejaki individu lain....

Meski pelbagai bakatnya, bidang lakonan seolah memberi kepuasan kepadanya untuk terus aktif. Biar sekecil mana watak itu, dia akan menerimanya.

Dalam Anugerah Skrin di TV3 baru-baru ini, dia menerima watak seorang sultan di pentas utama. Mulanya hati saya tidak menyetujui kemunculannya di tengah kelompok yang tidak 'seberapa' itu. Sekali dia tidak dapat membaca kerana ketiadaan kacamata. "Kantoi!" kata teman sepentasnya. Sekali lain, dia tidak mendengar perbualan seorang 'tetamu' - mungkin dalam keriuhan di dewan. "Dapat ....... pun pekak!" kata teman sepentas yang belum pun lahir ketika Dato' itu muncul sebagai orang Asia yang dipilih memegang watak Hamlet dalam teater Hamlet semasa di Australia.......

Hati saya terluka. Saya matikan tv. Sebelum itu pun saya sedang berkira-kira untuk merentap kabel tv tatkala seorang penyampai anugerah bertanya seorang pemenang: mahukah mengambilnya sebagai isteri?!
Ramai yang terkernyih agaknya, keseronokan......

Dato' Rahim, inikah antara harga seorang tokoh?

Maka ketika seorang rakan bertanya siapa yang menang apa dalam anugerah pada malam itu, saya hanya menyanyikan satu baris lagu dari kumpulan kegemarannya - Wings - bertajuk Mimpi Misteri Syakila:           ..... aku pun tak tahu..........
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 12 November 2012

Maafkan Aku: Raungan Janggal Afee...


Seorang jejaka yang mempersiakan cinta seorang gadis, baru tersedar. Kerinduan,dia mengharapkan Tuhan mengembalikan cinta yang hilang itu. Dalam sesal,dipintanya peluang kedua bagi memperbetulkan kesalahan lalu. Tetapi sayangnya, si gadis yang ditinggalkan kini telah menjadi milik orang - berkahwin.

Apakah yang perlu dilakukan oleh jejaka yang mengaku ego itu?Peliklah jika masih lagi dia meraung meminta diberikan kesempatan kedua, sedangkan si gadis telah dimiliki jejaka lain!.

Namun, itulah yang Afee [U-Topia] raungkan melalui lagu ciptaan Eddy Hamid  dengan liriknya tulisan Lin Hamid dari Suria FM.

Bagaimana menyelesaikannya?

Cantik jika biarkan Afee meraung dua kali dahulu, sebelum diakhiri dengan pernyataan dari si gadis - menjadi seperti ini:
Maafkan Aku
(L) Setelah kau pergi tinggallah aku sendiri
Baru kusedar semua pengorbananmu
Selama ini ku tak peduli kupersiakan hidupmu
Keegoanku ini memakan diri
Oooo…. Oooo….. Oooo….
Oooo…. Oooo….. Oooo….

(L) Tuhan tolonglah kurindu dia
Kembalikanlah asmara cinta mekar sewangi dulu
Ku harap engkau maafkanlah diriku
Aku bersalah mempermainkanmu
Hingga membuat kau sengsara

(L) Berilah peluang untuk kali kedua
Akan kubuktikan kasih dan sayangku
Terhadapmu
[Ulang terus bait di atas, barulah ditutup dengan bait berikut. Lengkaplah sebuah 'cerita'...]

(P) Mengapa dulu
Kau hancurkan hati ini
Mengapa engkau
Tak serius dalam cinta
Kenapa kini baru
Engkau menyesalinya
Sedangkan aku kini
Telah dimiliki
Maka tidak perlulah lagi sebuah raungan selepasnya!

Hal ini pernah dilakukan oleh Saari Amri dalam lagu Di sana Menanti Di Sini Menunggu dan Seksa nyanyian Amir dari grup Ukays. Albumnya Bisa Berbisa.

Setelah membiarkan si jejaka mendayu dan mengulangnya barulah dimasukkan penamat cerita.Lihatlah:

                                                  Di Sana Menanti Di Sini Menunggu
Seumur hidup aku
Ini yang pertama
Pintu hatiku diketuk
Oleh dua wanita
Punyai ciri selama ini ku cari
Berbeza wajah ayunya tetap asli
Kalau ku pilih di sini
Apa kata di sana
Kalau ku pilih di sana
Di sini akan terluka
Perlukah aku pilih keduanya
Bahagi kasih adil-adilnya
(*)
Sungguh ku merasa resah
Untuk menilai sesuatu yang indah
Namunku ada pepatah
Yang aku gubah
Di sana hanyalah menanti
Sampai bila pun ku tak pasti
Bertanya khabar melalui tinta
Jarang sekali bertemu muka
Namunku tahu dia setia
Dan di sini tetap menunggu
Berada jelas di mataku
Kasih tak luak terhadap aku
Sanggup menunggu kata putusku
Sayang ketabahanmu menawanku
( ulang *)
Ku terima satu nota
Ringkas tulisannya
Dia sedia undur diri
Dan memaafkanku
Katanya anggap ini satu mimpi
Yang datang sekadar
Untuk menguji

Seksa 
Kemana bintang beribu
Di malam ini
Tiada satupun yang kelihatan
kecuali kelam
Mungkinkah hujan kan turun
Menemani malam
Makin sepilah malam ku ini
Tiada teman bicara
Walaupun lenaku panjang
Tiada mimpi bertandang
Menghitung hari berlalu
Seksanya aku
Walaupun masih teringat
Kau jauh entah dimana
Sudahnya ku duakanmu
Dan tak ku duga kau jelma pula
Menagih lagi janji lama
Sukar bagiku untuk terima
Kehadiranmu untuk bersama
Kali kedua

Tak perlu kau menjelma lagi
Nyata atau mimpi
Kerna bagiku
Semua yang berlaku
Biarkan berlalu
Jangan pula nanti
Kau salahkan aku
Kerna meninggalkanmu

Maaf kerana pahat ini berbunyi setelah lama rumah siap. Ia sekadar iktibar untuk semua. Saya hanya pahat pengamat yang menunggu pahat lain berbunyi.......Apologi untuk semua pengkarya dan peminat lagu itu, termasuk diri sendiri..... Yang sempurna hanyalah DIA!
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 6 November 2012

Apa khabar Mawi sekarang?

Apa khabar Mawi sekarang?


Demikian tanya saya kepada seorang rakan - bekas peminat tegar penyanyi yang meledak dari rancangan Akademi Fantasia itu. Hampanya saya kerana, seperti selalu, sejak dua tahun ini, tiada akan muncul jawapan dari kawan tersebut. Malah dikatanya saya seolah memperlinya.....

Dulu dia cukup marah kalau saya bertanya kenapa dia ikut ketawa bersama penonton di auditorium, sedangkan ketika itu kami di kedai makan, tatkala Mawi menggaru hidungnya semasa diajukan soalan oleh seorang pengacara rancangan hiburan.

Dulu dia ketawa mengekek mendengar Mawi mengajuk jawapan bekas buah hatinya, "Ya...bang!" semasa muncul dalam satu lagi program hiburan.

Dulu, di rumahnya ada sekotak mi segera yang dibalut kemas, tanpa diusik isinya, diletakkan di dalam almari perhiasan kerana ada wajah Mawi sebagai duta produk.

Dulu.......


Seorang kenalan membeli kesemua kaset ceramah ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Setiap kali ke tapak pasar malam atau tapak ceramah, dia akan membawa satu senarai tajuk ceramah agama ustaz tersebut yang telah dimilikinya. Jika terjumpa yang belum terdapat di dalam senarai, dia akan membeli. Dalam perjalanan pulang dia akan memasang kaset itu di dalam kereta dan menyambung atau mengulang pasang di rumah pula untuk didengari seisi keluarga. Tidak kira ceramah di Masjid Sultanah Bahiyah atau Kilang Lama, Kulim, atau mana-mana sahaja, dia mesti menyimpan satu salinan di rumahnya.

Lama kemudian, ketika seorang rakan menziarahinya, dia mengunjukkan dua bekas kampit beras yang dipenuhi kaset yang diletakkan di luar pintu.

"Nak balik nanti, hang bawa balikla. Letak tang mana-mana...."katanya kepada rakan yang tercengang.

"Apa 'tu?"

"Kaset Shamsuri!" katanya sambil menjuihkan bibir. "Aku tak mahu dengar dah. Dia tak sejalan dengan aku!"

Maka janganlah salahkan saya apabila menasihatkan seorang anak buah yang sedang taksub hingga menubuhkan sebuah kelab peminat untuk seseorang yang sedang sejalan dengannya.

Takdirnya satu hari mereka tidak sejalan, jenuhlah pula saya menerima cd berisi kuliah dan ucapan idola masakini anak buah itu......

Dalam hidup, demikianlah antara yang dapat kita perhatikan.

Maka, bersederhanalah dalam menyanjung atau membenci sesama insan.

Jalan itu masih panjang........ 



Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Isnin, 5 November 2012

Titik Hitam...



Salah seorang anak arwah AR Tompel mempunyai tanda hitam pada mukanya. Dia pernah muncul di tv dengan imej asal itu tetapi bagi yang baru mengenalnya sebulan dua ini tidak akan mempercayai itu. Wajah putera yang cuba menjadi pelawak seperti babanya kini tiada tanda tersebut.

Seorang penyanyi yang menjadi veteran kerana lama muncul dalam apa yang dikatakan sebagai industri ini, asalnya mempunyai tahi lalat di hidungnya. Dia yang kini berkebolehan mengajar orang menyanyi dan menjadi juri yang kritis untuk mencari penyanyi segera, tidak lagi punya tanda lahir itu. Peminat atau pengagum barunya mungkin tidak tahu akan hal tersebut.
Majalah GILA-GILA edisi pertama muncul pada 1 April 1978 dengan muka depannya adalah karikatur wajah AR Badol yang baru muncul dengan filem Si Badol. [Badol dan R Jaafar sedang meletup di pasaran sebagai pelawak setelah memenangi Bakat TV 1976 terbitan RTM].

Gila-Gila yang diasaskan oleh Meor Shariman Hassan [Mishar – abang kepada penyanyi Sohaimi Meor Hassan] bersama Jaafar Taib dan Azman Yusoff cukup cepat melonjak. Ia dikatakan mengikut format majalah hunor barat, MAD.

Ketika itu, pada hari raya Aidil Fitri, tidak sah jika bersama kuih-muih dan ketupat, tidak pula terhidang sama majalah tersebut edisi bumper di atas meja!

Beberapa majalah seumpamanya turut muncul. Paling hampir saingannya adalkah majalah Gelihati terbitan Kumpulan Karangkraf. Mishar pula meninggalkan Creative Enterprise, penerbit GG, sebagaimana dikenali peminatnya, lalu melancarkan sebuah lagi majalah yang tidak kurang hebatnya, Batu Api.

Kemasyhuran majalah itu member idea kepada penerbit untuk menghasilkan filem dengan jodol GILA-GILA. Biasalah, strategi perniagaan. Kalau David Teoh aktif pada masa itu, MIG pun pasti menerbitkan filem berjodol sedemikian……
Omar Rojik
Filem terbitan tahun 1979 itu diarahkan oleh Omar Rojik, menggandingkan R Jaafar dengan beberapa artis handalan. Dalam filem ini juga kita dapat melihat Udo Omar  yang lebih terkenal dengan watak Haji Bakhil, muncul dalam filem warna era baru, setelah timbul sekejap dalam filem warna-warni Hang Tuah arahan Phani Majumdar pada tahun 1960-an.

Di dalam filem inilah muncul heroin baru yang bertahi lalat di hidung.

Sekarang, pelakon yang sering membawa watak ibu  atau isteri ahli korporat itu, tidak lagi mempunyai tanda lahir tersebut.Telah lama titik hitam itu hilang dari wajahnya.

Titik.

Anehnya, sekarang salah satu cara untuk membuat orang ketawa, agaknyalah, ditempeklah seketul tahi lalat palsu di muka pelakon komedi. Makin besar tahi lalat itu, semakin kuatlah dekahan tawa penonton. Pun, agaknyalah!

Rupanya tahi lalat boleh dijadikan prop, sama dengan kacamata berbingkai besar untuk watak orang bodoh-bodoh alang atau yang tidak berapa cukup mentalnya…….

Terbaru lagi, seorang pelakon watak serius dalam drama serius dilihat ditempek dua biji tahi lalat.

Makin hebat idea pengarah demi meninggikan mutu drama kita!

Tahniah. 

Kalau boleh dicadangkan, tempelkanlah pula ketuat. Pasti akan semakin kuat dekahan tawa penonton, jika diletakkan pada wajah pak turut yang menyua muka untuk dipasang prop tersebut……Kalau drama serius, pasti bertambah simpati penonton kepada watak berketuat di mana-mana bahagian badan itu!

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails