Rabu, 1 Mei 2013

Yahya Jusoh: Pemakai Jersi No. 4


 

Penghujung dekad 70-an dan awal 80-an, pemakai jersi pasukan bolasepak negara bagi nombor-nombor tersebut tidak pernah berubah:

1 R Arumugam.
2 Jamal Nasir
3 Soh Chin Aun
4 Yahya Jusoh
5 Santokh Singh
6 Shukor Salleh
8 Bakri Ibni
 
Merekalah, bersama Khalid Ali, Abdullah Ali, James Wong, Hassan Sani dan beberapa nama  lain, yang berjaya meletakkan Malaysia sebagai wakil Asia ke Sukan Olimpik '80 di Moscow. [Malangnya, kerana pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan, Malaysia menyertai banyak negara lain, memboikot acara sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu]

Banyak perlawanan membabitkan pasukan negara saya tonton - termasuk menjuarai Sukan SEA 1977 (Kuala Lumpur) serta mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 1979 (Jakarta). Tidak lupa pula perlawanan persahabatan skuad Malaysia dengan Kelab Cosmos New York yang turut membariskan ramai pemain terkemuka dunia, antaranya Pele dan Franz Beckenbauer.

Namun, bagaikan tidak lengkap detik terindah arena bolasepak negara tanpa mengingati aksi mendebarkan pada 6 April 1980 itu.

Yahya Jusoh
Kejayaan Malaysia di dalam perlawanan akhir pra-olimpik di Kuala Lumpur itu selalunya dikenang oleh generasi era tersebut dengan jaringan James Wong ketika bertemu Korea Selatan.Generasi kini juga boleh menontonnya di Youtube, dengan bersekali jeritan "cocok Hassan!" dari suara pengulas RTM ketika itu, Zulkarnain Hassan.

Namun, saya tidak akan dapat melupakan benteng 1Malaysia mempertahankan kubu dari serangan bertali arus lawan. Arumugam di pintu gol dibantu oleh soldadu-soldadu kental - Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Yahya Jusoh. [Hanya Yahya yang tidak bergelar Dato' selepas tamat karier ....]

Saya masih terbayang satu situasi mencemaskan. Ketika kedudukan seri satu sama, dan Malaysia sedang bertubi-tubi menyerang, telah berlaku serangan balas. Saya - dan tentunya penonton lain juga - terpempan melihat kelajuan seorang striker Korea Selatan dari arah kiri pasukan Malaysia melepasi barisan tengah. Luruan itu dengan tenang dirampas oleh pemain berjersi nombor empat, bek kiri, Yahya Jusoh. Saya yang ternganga sebelumnya [ketika itu menonton sambil duduk di rumah jiran sekampung], bangun bertepuk. Jika Yahya gagal ketika itu, pengulas sendiri mengakui, hampir mustahil Arumugam mampu.menghadapinya bersendirian...... Dan tulisan sejarah pastinya berbeza.....

Dua puluh empat hari selepas ulangtahun ketiga puluh tiga perlawanan bersejarah tersebut, kita dikhabarkan tentang pemergian Yahya Jusoh ke alam abadi.Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.

Arwah lama menderita gangguan saraf dan lumpuh, dan terakhir diuji dengan kanser prostat.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.

Jasa baktinya dalam mengharumkan nama negara akan sentiasa dikenang.

p.s.

Anda tahu siapa bek kiri atau pemakai jersi nombor empat di dalam skuad bolasepak negara kini?
Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails