Siapa sangka Stadium Merdeka menjadi pilihan untuk pertarungan merebut juara tinju Heavyweight dunia. Namun itulah yang berlaku pada 1 Julai 1975. Saya di tingkatan dua. Masih jelas betapa hebatnya promosi perlawanan itu. Ditubuhkan Syarikat Tinju Dunia Sdn Bhd untuk mengendalikannya. Kami di sekolah setiap minggu didatangi penjual buku yang menyelitkan majalah dan makalah tentang Muhammad Ali dan Joe Bugner sebagai bahan pelaris sebenarnya.
Di akhbar, iklan semuka penuh memuatkan wajah ceria rakyat Malaysia yang telah membeli tiket untuk menyaksikan pertarungan 15 pusingan itu. Satu wajah yang kekal di memori ialah seorang muda melayu berambut afro dengan tertulis di bawahnya perkataan "Gila" bagi menggambarkan keterujaannya.
Saya tak ingat bagaimana sambutan terhadap ketibaan Muhammad Ali, tetapi tak akan melupakan imej seorang penyanyi wanita terkenal (hingga kini) menyuakan muka dicium oleh Joe Bugner di Lapangan Terbang Subang.
Pada pagi perlawanan, kami berkumpul di kantin sekolah, menghadap peti tv (terima kasih untuk Mr Looi Chee Cheong a.k.a Pak Looi, guru besar yang mengizinkannya---- kalau tidak, sepilah sekolah). Bagi kebanyakan kami, tentulah menyokong Muhammad Ali yang semua orang panggil Mat Ali. Namun kemenangan tko yang kami harapkan tidak menjadi. Terpaksa berpuas hati menang dengan kiraan mata.
Antara yang diingati sepanjang pertarungan itu ialah gelagat Mat Ali membeliakkan matanya setiap kali gadis Malaysia pembawa kad pemberitahuan pusingan memasuki gelanggang. Juga bangganya mendengar suara Datuk Zainal Alam (penyanyi lagu Susu) sebagai pengumum pertarungan dan keputusan. Rasanya itulah pertama kali suara rakyat Malaysia dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.