Khamis, 6 Januari 2011

Mak dan tivi


Tidak banyak pilihan ketika itu. Sama ada TV1 atau TV2. Pukul 8.00 malam tentulah rancangan Berita. Kerana TV2 biasanya dengan berita bahasa Mandarin/Tamil, jadi TV1 sajalah yang boleh kami hadap. Selepas Berita (masa itu tak ada istilah berita mutakhir, terkini atau perdana), akan disusuli pula Ulasan Berita. Tiada pilihan, itu juga kami tonton walaupun ketika itu saya tak peduli sangat apa yang diulas. Antara penyampai slot itu ialah Hashim Embi [gambar] (meninggal pada 26 Februari 2010) dan Baharin Tahir. Saya mengagumi mereka hanya kerana mak selalu menyatakan kekagumannya.

Masa itu jarang orang berpeluang melawat ke stesen tv dan radio. Di utara hanya ada stesen radio di Pulau Pinang. Terletak di Jalan Burmah, tempat itu semacam menjadi lokasi wajib bagi peserta rombongan, baik pelajar sekolah atau orang dewasa. Itu pun kena menunggu kelulusan dari pihak radio, lama sebelum rombongan pergi ke Pulau Mutiara itu. Di situ ditunjukkan bagaimana siaran radio dipancarkan dan paling menarik bagaimana pula drama radio diterbitkan. Itu sahaja. Hal-hal tentang penerbitan di tv pula, hanya orang bertuah dapat melawatnya di ibu negara.

Dengan keadaan demikian tidaklah menghairankan jika saya menyetujui mak yang berdecit-decit memuji penyampai Ulasan Berita itu. Sambil memegang beberapa helai kertas, Baharin Tahir misalnya, hanya dua tiga kali menjatuhkan pandangan ke atas skrip di tangan. Selebihnya dia merenung ke arah kamera, dan dengan lancar mengulas berita. “Kuat sungguh dia hafal…!” begitu antara kata mak dalam nada kagum.

“Tengok kertas pun sekali-sekala saja,” kadang-kadang ayah turut menunjukkan kekagumannya.

Ketika mak sihat dan hingga akhir hayat ayah, saya terlupa tentang hal ini. Ketika saya teringat kembali, sudah terlewat untuk saya ceritakan proses penerbitan tv (lebih-lebih lagi tentang keadaan dan kemudahan di bilik penyampai berita). Mungkin kerana saya tahu pun melalui pembacaan. Kalaulah saya berpeluang melawat stesen tv masa sekolah dulu, sekampung agaknya akan tahu dengan terperinci……


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails