Isnin, 9 Julai 2012

Dr Haron Din dan Mat Bohong



Dato' Dr Haron Din



Saya amat mengagumi dan cemburu kepada sahabat-sahabat yang beroleh ilmu dengan mendengar ceramah-ceramah yang penuh dengan lawak jenaka.

Rasa kagum itu timbul kerana hingga kini, saya masih tidak mampu menyimpan secara kekal ilmu-ilmu yang dihidangkan oleh ustaz-ustaz dalam ceramah yang sentiasa bersulam cerita humor. Cemburu pula muncul kerana dengan hanya mendengar kaset [dululah] dan ceramah live, oleh ustaz-ustaz, dalam ketawa hingga katanya hingga kadangkala terpancut airmata dan kencing, mereka dapat menghadam ilmu yang diberikan.

Mungkin di segi ini saya agak konservatif - tepatnya kolot. Bagi saya, ilmu agama hanya tersimpan kukuh dalam minda apabila menghadap guru-guru, bersama kitab atau buku tertentu di hadapan - dengan rasa rendah diri dan takut - mendengar setiap permasalahan, huraian, dalil dan sebagainya. Tiada ketawa berdekah-dekah, cuma sesekali diukir senyum yang tipis. Suasana hening dan setiap butir bicara guru meresap dan hadam dalam diri, ada masa dicatat sesuatu yang perlu pada hujung paragraf yang dihuraikan olehnya. Sebaik tamat sesi, bersalam dengan guru berkenaan dengan rasa kasih dan rindu pada ilmunya.

Alangkah kolotnya saya!

Zaman banyak berubah. Kata para sahabat saya, kalau dikutkan seperti itu, rasa mengantuk akan cepat datang. Sebab itulah mereka memilih untuk mendengar ceramah yang penuh jenaka. Hilang mengantuk. Boleh pula sambil bergoyang-goyang kaki. Maka pada setiap mereka ada guru kesayangan masing-masing kerana kebolehan guru itu menghurai sesuatu bab dengan diiring peratusan jenaka yang tinggi. Misalnya, seorang sahabat saya, Firdaus [nama sebenar] menggemari ceramah Ustaz Ibrahimovic [bukan nama sebenar] kerana katanya ustaz itu sangat pandai berlawak!


Alangkah ketinggalannya saya! Maka makin kagum dan cemburulah saya terhadap sahabat tadi.

Pernah sekali, PIBG Sekolah Kebangsaan Kangkong mengundang Dato' Dr Haron Din mengadakan ceramah. Malam itu, padang sekolah dibanjiri ribuan penduduk sekitar. Saya bersama ramai juga budak AlFalah yang tinggal di asrama ikut serta. Yang tidak tinggal di asrama pula tentulah berkali ganda ramainya berhimpun bagi mendengar ceramah Dr Haron yang cukup terkenal ketika itu menerusi program Forum Perdana Ehwal Islam di TV1.

Sebaik sampai, kami tidak lagi berpeluang berada dekat dengan pentas yang didirikan di hadapan salah satu tiang gol di padang itu. Suasana sesak namun pandangan tidak terhalang kerana semua yang hadir duduk bersila beralas kertas atau selipar sendiri atau rumput nan asli. Di atas pentas, di hadapan sebaris kerusi bersofa, bersusun ratusan botol berisi air kerana dikhabarkan, selepas berceramah nanti, Dr Haron [semasa itu belum bergelar Dato', belum juga bersara dari jawatan pensyarah UKM, belum aktif dalam siasah] akan membaca ayat penerang hati atau seumpamanya. Kami kesal kerana tidak dimaklumkan atau memang tidak maklum tentang itu. Ketika era air sejuk belum lagi terjual di kedai, di manakah akan kami ambil botol berisi air pada malam itu? Maka telan liurlah kami dari jauh......

Ceramah bermula.

Di sinilah terserlahnya kelemahan atau kekolotan saya.

Dr Haron faham kehendak masyarakat. Kalau benar hendakkan ilmu, tentulah dicarinya kepada guru-guru yang berserakan di tanah air. Ini mereka hanya sekadar ingin mendengar. Maka dalam ceramah itu dibalutinya dengan banyak jenaka. Puaslah agaknya audiens. Amat berbeza sekali dengan cara beliau berhujah atau menghurai sesuatu seperti yang sering kami tonton di tv. Saya teringat emak yang sering dengan bukunya mencatat sesuatu setiap kali tersiarnya Ehwal Islam, lebih-lebih lagi jika ada panel seperti Ustaz Ismail Kamus, Dr Amran Kasimin, Dr Abdul Haie  dan Dr Haron Din.

Kini, saya tidak ingat sangat apa yang dikupas oleh Dr Haron pada malam itu. Begitulah. Mungkin ribuan orang yang hadir boleh mengingat isi ceramahnya. Tetapi tidak saya. Maka fahmilah kenapa saya kagum dan cemburu dengan sahabat tadi.

Yang saya ingat kini adalah kisah Mat [maaf kepada sahabat yang dipanggil Mat di seluruh dunia. Kata orang kita, orang bernama Matlah yang paling banyak mendapat gelar....] Bohong.

Dr Haron berkisah [dalam bahasa saya pula]:

Di kampungnya [biasalah bagi mana-mana penceramah: kalau tidak kampungnya, pasti bukan di kampung tempat berceramah itu!] ada seorang yang terkenal dengan perangai paling amat terlalu suka berbohong. Digelarlah Mat Bohong. Dia tidak marah dengan gelaran itu. Malah berbangga. "Alang-alang bohong, orang tak dapat gelaran 'tu,"katanya.

Kata orang, dalam sepuluh cakapnya, payah satu pun yang betulnya.

Satu hari, jam 10 pagi, ketika Pak Imam sedang minum bersendirian di kedai kopi di pekan, dia ternampak kelibat Mat Bohong  memasuki kedai runcit bersebelahan. Kelihatan terkocoh-kocoh ketika turun dari basikalnya. Kalut.

Sebentar kemudian dia keluar. Pak Imam menggamitnya. "Mat, mai minum dulu!"

Mat datang menghampiri Pak Imam. Bersalam dalam tergesa-gesa. "Mai minum dulu. Sambil 'tu bolehla bohong apa yang patut...."pelawa Pak Imam.

"Minta maaf, Imam," kata Mat, serius dan serabut wajahnya, "hari 'ni tak boleh bersembang banyak. Saya kalut sikit 'ni. Nak keliling kampung.  Hj Awang nak buat kenduri cukur rambut cucu dia. Dia suruh saya pangge orang kampung. Kebetulan jumpa Imam tang 'ni, kira selesai tang 'ni la no....."

"Selesai apa?"

Mat menghulurkan tangannya sekali lagi kepada Pak Imam."Saya terima wakil dari Hj Awang jemput Pak Imam ke rumah dia pukul dua belas sat gi. Dia 'nak buat sebelum zohor. 'Ni kira jadi la no. Tak payahla saya pi rumah Imam 'dah.... Assalamu'alaikum!"

Mat pantas melompat basikalnya, menghala ke jalan. Laju kayuhannya.

Balik dari pekan, sekitar jam 11.50, Pak Imam terus singgah di rumah Hj Awang. Suasana lengang. Awal sangatkah aku 'ni, katanya dalam hati.

Dia memberi salam. Muncul Hj Awang bersama isterinya.

"Kata ada kenduri. Tak mai lagi ka......"

"Sapa kata?" tanya Hj Awang yang sedang kehairanan di atas tangga.

"Mat bagi tau tadi....."

"Mat mana?"

"Mat Bohong...."

"Laa, Imam percaya?"

Laaa, dalam serius Mat, Pak Imam pun kena bohong!

Audiens tertawa.

Demikianlah.

Berdasarkan cerita tersebut, mungkin tajuk kupasan Dr Haron malam itu adalah bercakap benar atau jangan menipu dan berdusta. Mungkin.

Sementara itu, rasanya saya tetap kena belajar secara 'kolot'.......dalam hening, tanpa tawa.

Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

Selasa, 26 Jun 2012

Sulaiman Masri Yang Selayaknya Dikagumi







 

 

 


Ketika saya terlalu muda pada tahun 1970, Rukun Negara dilancarkan. Kami diminta menghafal perisytiharan dan ikrar rukun tersebut:
  
Perisytiharan
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden:

Ikrar

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Malah ada pertandingan melafazkan ikrar rukun tersebut sebagai persediaan menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan  pada 31 Ogos 1970. Saya antara yang dipilih guru dalam tapisan akhir bagi mewakili sekolah. Saya gagal, dan paling diingat sebabnya adalah kerana saya hanya berselipar jepun ketika muncul di depan barisan juri sekolah.....

Namun tahun itu rukun negara telah meresap ke seluruh jiwa pelajar. Kami akan menjerit kuat-kuat ' Maka kami, .... setiap kali ternampak bendera Malaysia berkibar - sesuatu yang amat sukar dijumpai dipasang ketika itu. kalau ada pun , selain di sekolah, adalah di premis-premis milik kerajaan seperti klinik dan pejabat pos.

Ketika itulah, pada suatu hari saya mendengar lagu Rukun Negara dimainkan di radio. Saya masih ingat, juruhebahnya, arwah Karim Mohamad, cuba menyuruh pendengar meneka nama penyanyinya. Semasa itu bukan ada talian terus ke konti. Maka bertekaan sesama pendengar setempat. Ramai, termasuklah bapa saudara saya, yang meneka itu adalah suara A Ramlie. Suaranya 'sebiji' A Ramlie. Namun jawapannya adalah Sulaiman Masri. Menurut Karim Mohamad, Sulaiman ketika itu adalah penuntut Universiti Malaya.
Saya kagum dan setelah 2-3 kali mendengarnya, saya dapat menyanyi sebaik Sulaiman!

Sulaiman [ belakang] ketika menadi editor DM
Ketika saja menginjak remaja, Dewan Masyarakat menjadi antara bahan bacaan pilihan. Dari bacaan kulit ke kulit, saya temui nama Sulaiman Masri sebagai penolong editor majalah pilihan pelajar tingkatan enam itu.
Walaupun tanpa maklumat sahih, saya tahu itulah Sulaiman, bekas penuntut UM yang sempat merakam album suaranya bersama band The wanderers dulu. Saya semakin kagum.

Satu hari, ketika membelek-belek buku di Pustaka Union, Alor Setar, saya terpandang sebuah buku di bahagian linguistik. Hasil tulisan Dr Sulaiman Masri. Saya tahu orangnya masih sama dengan penyanyi awal 70-an tersebut. Membaca sedikit biodata di belakang buku, tebakan saya tidak meleset. Saya semakinlah kagum.

Ternyata,  Malaysia juga memiliki artis yang selayaknya dikagumi!

Berikut petikan tentang Sulaiman Masri dalam Wikipedia:

Dr Sulaiman Masri merupakan penulis tersohor di Malaysia berhubung bahasa Melayu. Beliau pernah bekerja di DEwan Bahasa dan Pustaka. Kini menjadi pensyarah di UPSI, Tanjung Malim,Perak,Malaysia.
Dr. Sulaiman Masri mendapat didikan dalam bidang linguistik, kewartawanan dan penerbitan. Pernah bertugas sebagai guru, pensyarah, perancang bahasa, dan editor. Beliau memimpin pelbagai kursus komunikasi untuk pelajar, mahasiswa dan pekerja.

Sulaiman Masri lahir di Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor pada 23hb. April, 1949. Beliau mendapat pelajaran dasar di Tanjung Karang, Selangor dan di Sekolah Menengah Alam Shah,Bandar Tun Razak.Kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya dan mendapat MA dan PhD di luar negara.

             

Penulisan

  1. Bahasa Melayu rujukan menengah ,(Sulaiman Masri, Mashudi Bahari, Juliliyana Mohd. Junid ), ,Utusan Publications, 2007
  2. Bahasa Melayu : dimensi pengajaran dan pembelajaran ,(Sulaiman Masri, Abdullah Yusof, Mohd Ra'in Shaari), , Utusan Publications & Distributors, 2006.
  3. Tatabahasa Melayu mesra pengguna (Sulaiman Masri, Ahmad Khair Mohd Nor), ,Utusan Publications & Distributors, 2006.
  4. Komunikasi pejabat : petua pelayanan pelanggan serta panduan umum penulisan memo, surat, laporan, minit, ucapan dan iklan (Sulaiman Masri, Ahmad Khair Mohd Nor), Utusan Publications & Distributors, 2005.
  5. Tuju cemerlang peperiksaan, Utusan Publications & Distributors , 2005.
  6. Kaedah penyelidikan dan panduan penulisan (esei, proposal, tesis),Utusan Publications & Distributors , 2005.
  7. Panduan belajar di universiti, Utusan Publications & Distributor, 2002.
  8. Komunikasi kewartawanan : penulisan berita, rencana dan ulasan ,( Sulaiman Masri, Razali Ayob Sulaiman Masri), Utusan Publications & Distributors, 2002.
  9. Target bestari : cemerlang peperiksaan ,Alaf 21, 1999.
  10. Tatabahasa Melayu , Fajar Bakti, 1997.
  11. Media dan komunikasi dalam Bahasa Melayu ,Fajar Bakti, 1997.
  12. Komunikasi berkesan jilid 2 : penulisan memo, surat, iklan, laporan (minit mesyuarat) ,Fajar Bakti, 1997.
  13. Penggunaan bahasa Melayu ,Fajar Bakti, 1997.
  14. Teori tatabahasa : keterbatasan dan kemungkinannya (oleh Frederick J. Newmeyer ; Penterjemah Sulaiman Masri) , DBP, c1996.
  15. Kursus amali dalam pemprosesan istilah (oleh Juan C. Sager; bibliografi oleh Blaise NKwenti- Azeh, Penterjemah Sulaiman Masri), DBP, 1995.
  16. Penulisan berita dalam bahasa Melayu ,Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  17. Inilah bahasa baku , Fajar Bakti, 1989.
  18. Sebutan baku : panduan dan senarai perkataan ,Syarikat S. Abdul Majeed , 1988
  19. Bahasa Inggeris mudah , Teks Publishing, 1986.
  20. Saripati Bahasa Malaysia , Oscar Book International, 1983.
  21. Kamus utama dengan daftar kata istilah (Penyunting Sulaiman Masri), Pustaka Zaman, 1980.
                                                                                                                            
[Selain album yang memuatkan lagu Rukun Negara, Madah Untuk Adek, Tak Guna Kata Dan Janji serta Pertemuah Di Malam Pesta itu, Sulaiman Masri & The Wanderers turut menghasilkan satu lagi album yang diisi dengan lagu-lagu Setiamu Abadi, Korban Chinta Suchi, Riwayat Lembah Pantai dan Mahsuri Malinja Ria Bahagia.]
Sayang sekali hanya sebuah lagu yang dapat dikesan. Peminat tegar A Ramlie bolehlah menilai suara Doktor Bahasa ini. Saya tidak terkejut apabila salah satu lagu nyanyiannya dicipta oleh Salamah Basiron, yang sebelumnya terkenal dengan ciptaan lagu Oh Fatimah [A Ramlie].......


                                    


Kesudian anda ke sini amat dihargai. Jangan serik untuk kembali. Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails